- Berita
- Berita Auto
- Hans De Visser Dilantik Sebagai Pengarah Urusan Dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia
Hans De Visser Dilantik Sebagai Pengarah Urusan Dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia
BMW Group AG melantik Hans de Visser untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu bagi BMW Group Malaysia mulai 1 Mei ini.

Pelantikan de Visser adalah bagi menggantikan pemegang jawatan sekarang, Harald Hoelzl, yang akan memangku jawatan baharu di BMW Group AG.
De Visser mempunyai pengalaman yang melebihi 29 tahun dalam pelbagai bidang di BMW Group.
Bermula sebagai Pengurus dalam Komunikasi Pemasaran di BMW Motorrad, Munich, beliau kini menggalas pelbagai tanggungjawab dalam bidang Jualan dan Pemasaran di pasaran secara global, termasuk Timur Tengah, Eropah Timur-Tengah, Sepanyol dan ibu pejabat BMW Group di Munich.
“Pengalaman Hans yang luas dalam bidang pemasaran dan jualan yang melibatkan pelbagai peranan, serta latar belakang antarabangsanya pasti dapat memberi manfaat yang besar dalam jawatan beliau yang baharu,” kata Naib Presiden Kanan Rantau Asia Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika, Hendrik von Kuenheim.
Hoelzl dikatakan akan mengiringi de Visser sepanjang dua bulan yang pertama di Malaysia sebelum beliau menggalas tanggungjawab baharu untuk BMW Group di Vienna, Austria.
“Saya juga ingin mengambil peluang untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Harald atas sumbangannya di Malaysia. Beliau dan rakan sepasukan telah menjadikan BMW Nombor Satu dalam segmennya di samping memperkukuhkan kedudukan syarikat ini di Malaysia,” tambah von Kuenheim.

Di bawah pimpinan Hoelzl, BMW Group Malaysia telah mencapai semula posisi Nombor Satu dengan penguasaan lebih daripada 52 peratus bahagian pasaran dalam segmen yang didudukinya.
BMW Group Malaysia mencatat pencapaian terbaik dalam Net Promoter Scoring (NPS) dalam kepuasan pelanggan dimana ia menyaksikan lebih 90 peratus respons postif daripada pelanggan.
Hoelzl juga berjaya menerajui BMW Group Malaysia untuk menjadi pembekal Mobiliti Berelektrik nombor satu selain pemasang automotif keluaran tempatan nombor satu di Malaysia.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/