- Berita
- Berita Auto
- Ambulans Itu Dipercayai Membawa Mangsa Kemalangan Untuk Mendapatkan Rawatan
Ambulans Itu Dipercayai Membawa Mangsa Kemalangan Untuk Mendapatkan Rawatan
Niat pemandu ambulans untuk membawa tiga mangsa kemalangan bagi mendapatkan rawatan segera tidak kesampaian apabila ambulans yang dinaiki mereka juga terlibat dalam kemalangan.
Ambulans itu dipercayai terbalik beberapa kali selepas bertembung dengan sebuah treler di Jalan Ayer Hitam Batu 49, Simpang Renggam, Kluang semalam.

Lebih menghayat hati apabila kemalangan itu turut meragut nyawa seorang pembantu perubatan yang berada di dalam ambulans berkenaan, manakala pemandu ambulans, Othman Ghafan,50, dan seorang pesakit wanita dilaporkan cedera parah.
Bagaimanapun dua penumpang yang terdiri daripada lelaki dan wanita yang berada di dalam ambulans itu pula bernasib baik kerana hanya cedera ringan.
Hasil siasatan mendapati ambulans terbabit dalam perjalanan membawa tiga mangsa kemalangan dari Machap untuk dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) bagi mendapatkan rawatan.

Begitupun, niat pemandu ambulans berkenaan tidak kesampaian apabila kenderaan itu juga terlibat dalam kemalangan.
“Sebaik Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, terdapat kebakaran kecil pada bahagian hadapan ambulans milik Kementerian Kesihatan (KKM) namun api itu berjaya dipadamkan oleh orang awam.

“Pembantu perubatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala, semua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital,” kata Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Razali.
Sebaliknya, pemandu treler berusia 35 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Punca kebakaran akibat kemalangan masih dalam siasatan.
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

