- Berita
- Berita Auto
- Triton Putih Guna Siren, Lampu Kecemasan, Rupa-Rupanya...
Satu klip video tular di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton menggunakan siren dan lampu kecemasan dirakam selamba “cilok” kenderaan di tenagh-tengah jalan raya.
Tindakan itu nyata membahayakan pengguna jalan raya. Tambahan pula, kejadian berlaku di Kilometer 239, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara.
Susulan itu, orang ramai mengecam tindakan pemandu pacuan empat roda dan meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera kerana khuatir siren polis itu disalahguna.
Selepas siasatan, kenderaan itu rupa-rupanya milik PDRM. Perkara itu disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Difahamkan, pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sedang membawa suspek dua lelaki di daerah Taiping, Perak dengan menggunakan Triton berwarna putih itu.
Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam satu sindiket curi kenderaan mewah.
"Pasukan tersebut bersama-sama suspek yang ditahan terus dibawa ke IPK perak untuk tujuan siasatan lanjut.
"Atas faktor keselamatan serta tugas rasmi, pasukan serbuan tersebut telah menggunakan siren dan lampu kecemasan bagi mendapat laluan pantas ketika melalui laluan yang sesak," katanya dalam satu kenyataan.
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/