- Berita
- Berita Auto
- SAH: Proton Jadi Pengedar Kenderaan Smart Di Malaysia/Thailand

PROTON akhirnya memuktamadkan perjanjiannya untuk menjual dan servis kenderaan tenaga baharu (EV) premium daripada smart Automobile Company (smart) di Malaysia dan Thailand dengan menandatangani Perjanjian Pengedaran Am, sebentar tadi.
Perjanjian Pengedaran Am itu ditandatangani Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif smart Automobiles, Tong Xiangbei.
Pada Januari lalu, Proton mengumumkan Proton Edar dilantik menjadi pengimport, pengedar dan wakil jualan untuk kenderaan tenaga baharu (NEV) jenama smart untuk pasaran Malaysia dan Thailand.

Sebagai makluman, jenama Smart kini bukan lagi milik Mercedes, tetapi bertukar kepada usahasama dengan Geely Group. Proton Edar akan berperanan sebagai rangkaian jualan, menawarkan servis dan perkhidmatan selepas jualan untuk jenama smart.
Perjanjian ini bukan sekadar menjual model smart, tetapi ia turut melibatkan proses pembangunan keseluruhan bagi menembusi pasaran kenderaan tenaga baharu.


Dikhabarkan Proton berhasrat untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan.
Ketika ditanya mengenai siapakah penyedia pengecasan, Proton tidak mendedahkan secara terperinci namun sudah ada perbincangan membabitkan antara tujuh hingga lapan pihak.

Apapun, model pertama smart dijangka mula dijual seawal suku keempat 2023.
Malah Malaysia ialah pasaran pertama bakal menerima kemasukan model smart EV dengan pemanduan kanan.
Proton menyifatkan merupakan detik pertama penerokaan Proton dalam segmen EV, selain memiliki rancangan membuat pelaburan untuk rangkaian kemudahan stesen pengecasan EV menerusi kerjasama bersama penyedia pengecasan tempatan serta pemasangan.
Sementara itu, Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dalam ucapannya berharap agar kerajaan mempertimbangkan idea untuk melanjutkan tempoh pengecualian eksais model import (CBU) yang akan tamat 2023.
Menyentuh mengenai harganya, Smart menawarkan produk premium dengan harga agak mustahil bawah RM100,000 atau disasarkan kepada orang muda secara umum.

Ditanya mengenai sasaran jualan, Roslan berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 800 hingga 1,000 unit setahun di Malaysia sahaja.

Sebaliknya, Proton menetapkan sasaran jualan sekurang-kurangnya 10,000 unit menjelang tahun 2027.
Soal rancangan pemasangan tempatan (CKD), Roslan kata ia masih agak awal untuk dijelaskan.
Antara faktor yang akan menentukannya ialah volum jualan dan pelaburan yang perlu dibuat.

Untuk makluman model smart #1 dijangka berada di Malaysia seawal Mei 2023 sebelum tempahan dibuka.
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
