- Berita
- Berita Auto
- Prestasi Pengeluaran, Jualan & Eksport Mitsubishi Meningkat Di Kesemua Pasaran
Prestasi Pengeluaran, Jualan & Eksport Mitsubishi Meningkat Di Kesemua Pasaran

Ibu pejabat Mitsubishi Motors di Tokyo (Sumber: Zuma Press)
Mitsubishi Motors telah mengumumkan prestasi kewangan suku keempat dan tahunannya baru-baru ini. Laporan kewangan tersebut mendedahkan bahawa syarikat tersebut berjaya mengharungi cabaran rantaian bekalan global tahun lalu dengan peningkatan prestasi bagi kesemua pasaran di rantau Asia, Eropah dan Amerika Utara.
Di negara Jepun sendiri, Mitsubishi mencatatkan peningkatan pengeluaran sehingga 172% atau 440,762 unit sepanjang tahun 2022 dengan 44,091 daripadanya dikeluarkan pada bulan Disember. Pengeluaran luar negara pula meningkat 67.7% (42,718 unit) untuk Disember, dengan jumlah keseluruhan 571,646 unit. Secara keseluruhannya Mitsubishi menghasilkan 1,012,408 unit kenderaan tahun lalu dari kilang pengeluarannya di Jepun, Thailand, China dan Indonesia.

Jumlah eksport juga menunjukkan peningkatan yang mana kilang pengeluarannya di Jepun mengeksport sejumlah 23,538 unit kenderaan ke luar negara pada bulan Disember, membawa bilangan eksport keseluruhan tahun lalu kepada 222,242 unit. Jumlah eksport untuk kilang lain pula mencecah 14,577 bagi bulan Disember dan 133,729 untuk sepanjang tahun 2022.
Mitsubishi Motors walau bagaimanapun tidak mendedahkan prestasi jualan kenderaannya secara terperinci berdasarkan model, namun untuk pasaran Amerika Syarikat, Outlander kekal sebagai model terlaris dengan jualan 40,942 unit tahun lalu.

Sementara itu di Malaysia, pengedarnya, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dalam laporan yang didedahkan bulan lalu, mencatatkan rekod jualan tertinggi berjumlah 24,017 unit, lebih tinggi berbanding tahun 2021 dengan peningkatan 37.3%. Model yang terlaris di pasaran Malaysia ialah Xpander dan Triton.
Sumber: MSN
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv



