- Berita
- Berita Auto
- Anak Maut, Bapa Terkilan Anak Tak Sempat Pakai Baju Raya Sedondon Hitam
Anak Maut, Bapa Terkilan Anak Tak Sempat Pakai Baju Raya Sedondon Hitam

Baru sahaja melangkah masuk sesi persekolahan, namun niat untuk menimba ilmu tidak kesampaian apabila seorang murid perempuan Tahun Tiga menemui ajal selepas motosikal yang dinaiki bersama pengasuhnya dirempuh sebuah treler.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kejadian meruntun jiwa itu berlaku di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam bulatan mangsa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki motosikal bersama pengasuh dan adik lelakinya yang berusia tujuh tahun.
"Wanita yang juga pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang.
"Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian,"katanya.


PERKEMBANGAN BAHARU
Bagaimanapun, kejadian itu bukan disebabkan kecuaian pemandu treler. Satu klip video yang dimuat naik ke internet menunjukkan penunggang motosikal itu dilihat terus keluar lorong menyebabkan ketiga-tiganya terjatuh.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penunggang motosikal tidak dapat mengawal motosikal kerana bahu jalan berpasir menyebabkan motosikal dan penunggang serta pembonceng telah terjatuh di atas jalan raya.
Mangsa seorang pelajar perempuan digilis tayar belakang treler itu dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal tersebut patah tangan kanan dan adik mangsa cedera di bahagian kepala.
“Ketiga-tiga penunggang dan pembonceng tidak memakai topi keledar. Pemandu treler berusia 36 tahun cedera di bahagian muka akibat dipukul oleh orang ramai,” jelasnya.
Sementara itu, bapa murid, Muhammad Jamathir Ahmad Nordin, 32, cukup terkilan kerana anaknya tidak sempat memakai baju kurung baharu yang dibelinya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
"Dia seronok melihat pakaian itu. Bagaimanapun sudah ditakdirkan begitu, memang sedih tapi saya perlu reda," katanya.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/