- Berita
- Global
- Erdogan Individu Pertama Terima EV Keluaran Turkiye, Togg T10X

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menerima kenderaan elektrik (EV) keluaran negaranya yang pertama, semalam. EV daripada syarikat Togg model T10X itu telah diserahkan di Istana Presiden, Ankara.
Meluahkan rasa bangga dengan EV keluaran negaranya, Erdogen berkata beliau ingin melihat jenama ini digunakan di seluruh dunia, bukan hanya di Turkiye.
Sewaktu acara penyerahan EV dibuat, Erdogan dan isterinya, Emine, merasai pengalaman menggunakan SUV kompak tersebut di sekitar kompleks istana dan berpuas hati dengan kecanggihan teknologi yang digunakan.

Portal EV, Electrive, mendedahkan, kenderaan ini hadir dengan fungsi pemanduan autonomi kecil, termasuk mod waktu kemuncak yang membolehkan pemandu melepaskan tangan daripada stereng semasa dalam kereta bergerak pada kelajuan kurang daripada 15 km/j.

Tiga varian ditawarkan, dua varian menggunakan motor elektrik tunggal yang dipasang di bahagian belakang dengan output 218 hp/350 Nm. Terdapat pilihan pek bateri dengan jarak perjalanan antara 314 km ke 523 km. Kedua-dua varian ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat. Sementara itu, model andalannya menggunakan dua motor elektrik dengan output 435 hp/700 Nm. Pecutan abad boleh dilakukan dalam masa hanya 4.8 saat.
Bateri T10X boleh dicas daripada 20% ke 80% dalam masa kurang daripada 28 minit menggunakan pengecas pantas.

T10X dijual pada harga antara 953,000 Lira Turkiye (~RM217,790) dan 1.05 juta Lira Turkiye (~RM239,957) bagi EV dengan jarak perjalanan 314 km. Sementara model dengan jarak lebih jauh, lebih daripada 500 km, dijual pada harga 1.215 juta Lira Turkiye (~RM277,708).
Syarikat pengeluar EV pertama Turkiye itu, Turkiye's Automobile Joint Venture Group Inc. (Togg) ditubuhkan pada tahun 2018 hasil kerjasama lima buah syarikat.
Syarikat tersebut merancang untuk mengeluarkan SUV, sedan, C-hatchback, B-SUV dan B-MPV.

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv