Link Copiedcheck_circle
EV

Harga Renault Zoe, Tak Mahal Sangat Pun!

Suhana Veru

17-5-2023

Kongsi melalui


Pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars (TCEC) secara rasminya melancarkan kereta elektrik sepenuhnya, EV Renault Zoe semalam.

Renault Zoe baharu didatangkan dalam dua varian dimana harga rasmi untuk varian asas Zoe R110 ialah RM165,000 di atas jalan tidak termasuk insurans. 

Bagi Zoe R135 dengan spesifikasi lebih tinggi pula berharga RM179,000 di atas jalan tanpa insurans.

Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Wong Hoe Mun berkata, pelancaran EV itu membuktikan Renault Zoe telah mengukuhkan posisinya sebagai antara perintis dalam segmen kereta elektrik urban di dunia.

“Dengan rekaan tersendiri yang segar, bahagian dalaman lebih moden dan dilengkapi pelbagai teknologi, Zoe baharu menjanjikan keseronokan memandu jentera 100 peratus elektrik di bandar ke satu dimensi baharu,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut mengenai lokasi pengecasan, beliau berkata, terdapat satu bilik pameran Renault di Petaling Jaya, yang mana para pelanggan boleh mengakses dengan mudah terhadap pengecas AC.


“Dengan keupayaan mengecas AC 22 kW yang terbaik dalam kelasnya, terdapat lebih 110 pusat pengecasan 22 kW AC di seluruh Semenanjung Malaysia,” tambahnya. 

Jadi, bagi mereka yang berminat untuk melanggan Zoe baharu boleh mendapatkan Fixed Plan menerusiplatform Renault Subscription. 

Ada tiga pelan yang ditawarkan iaitu setahun, dua tahun dan tiga tahun dengan kadar bermula RM2,799 sebulan untuk Zoe R110 dan RM2,999 sebulan bagi Zoe R135.



Untuk makluman anda, EV ini menampilkan bateri Z.E. 50 generasi seterusnya yang sama dengan model terdahulu, tetapi mempunyai kapasiti tenaga lebih tinggi iaitu 52 kWh. 

Hasilnya, ia mampu menawarkan lebih kuasa dengan peningkatan lebih 20 peratus berdasarkan kepada piawaian WLTP – 395 km untuk Zoe R110 dan 386 km bagi Zoe R135 yang lebih berkuasa.

Kedua-dua varian itu menggunakan kotak gear satu kelajuan untuk menggerakkan roda hadapan, tetapi dengan konfigurasi motor yang berbeza.’

Zoe R110 dilengkapi motor berkuasa 80 kW yang menawarkan kuasa 110 PS dan tork 225 Nm. 

Angka itu membolehkannya ia memecut dari 0-100km/j hanya dalam masa 11.4 saat dengan pecutan maksimum 135 km/j.

Zoe R135 pula menerima motor 10 0kW yang berupaya menghasilkan kuasa 135 PS dan tork 245 Nm.

Ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 9.5 saat dengan pecutan maksimum 140 km/j.

Renault Zoe baharu menyokong pengecasan pantas sehingga 50 kW dengan sambungan CCS2 yang membolehkan pengecasan dari 10-80 peratus dalam masa 70 minit. 

Sementara itu, pengecas AC Type 2 22 kW pula menawarkan 0-100 peratus dalam masa yang mendahului kelasnya iaitu hanya tiga jam.

Mod B pula berfungsi meningkatkan kecekapan brek regeneratif Zoe baharu, dengan menukar tenaga kinetik menjadi elektrik sebanyak mungkin untuk meningkatkan jarak perjalanan. 

Malah mod B juga menjadi pemanduan lebih mudah, terutama di bandar atau dalam kesesakan jalan raya. 

Ia meningkatkan aspek nyahpecutan sebaik sahaja pedal dilepaskan, sekali gus mengurangkan keperluan untuk menekan brek.

LUARAN:


Menyentuh mengenai dimensinya, Renault Zoe baharu kekal sama (4,087mm panjang, 1,562mm tinggi, 1,945mm lebar).

Hud hadapan telah direka semula sepenuhnya dengan penampilan yang lebih maskulin. 

Kontur baharu terarah ke bahagian tengah wajah dengan holografik logo permata Renault, yang menempatkan ruang pengecasan baharu.

Bampar hadapan baharu membuatkan penampilan keseluruhan Zoe baharu nampak lebih lebar.

Ia turut dipasang dengan kemasan krom pada gril, lampu utama dan di sekeliling lampu kabus, sekali gus meningkatkan rupa bahagian bawahnya. 

Corong pengambilan udara pada bahagian sisi direka khas untuk menambah baik aliran angin, seterusnya mengurangkan halangan aerodinamik demi memberikan pengendalian serta jarak yang lebih baik.

Renault Zoe baharu juga dipasang dengan lampu LED sepenuhnya yang merangkumi lampu utama Pure Vision, lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk C, lampu kabus, lampu isyarat membelok belakang dinamik dan amaran isyarat membelok pada cermin sisi.

Kedua-dua varian dilengkapi rim aloi lima jejari bersaiz 16 inci, brek cakera di depan dan belakang bersama tayar bersaiz 195/55.

KABIN

Kabin Renault Zoe baharu dimodenkan dengan panel instrumen digital untuk pemandu bersaiz 10 inci yang telah direka semula. 

Paparan boleh ubah itu memaparkan sistem bantuan pemanduan utama dan semua tetapan spesifik dengan pemanduan elektrik seperti eco-meter. 

Panel itu juga memaparkan indikasi GPS pada varian Zoe R135 yang hadir dengan navigasi secara offline sebagai ciri standard. 

Sebagai tambahan, paparan horizon dan kesan perspektif yang pelbagai membantu pemandu agar lebih fokus ketika memandu.

Sistem infotainmen Renault Easy Link boleh diakses menerusi paparan media skrin sentuh berukuran 9.3 inci yang menyokong ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay. 

Ia juga menawarkan ketersambungan Bluetooth, dua port USB dan port audio auxiliary. 

Sistem audio dengan enam unit pembesar didatangkan sebagai ciri standard.

Kedua-dua varian hadir dengan cermin yang boleh ditala secara elektrik (boleh dilipat untuk Zoe R135), sensor parkir belakang, e-shifter elektronik, brek parkir automatik, lampu kabin LED sepenuhnya, kawalan suhu automatik dan panel kawalan baharu yang lebih ergonomik.

Zoe R135 ditambah dengan dua port USB di belakang, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur dan sensor parkir hadapan.

Zoe baharu menampilkan inovasi penggunaan material mapan. Upholsteri fabrik baharu adalah 100 peratus kitar semula menggunakan yarn sisir kasar, pertama dalam industri automotif. 

Yarn tersebut dibuat daripada tali pinggang keselamatan dan material plastik terbuang. 

Ia diperoleh dan dikilang berdasarkan kepada kitaran prinsip ekonomi yang membantu mengurangkan pengeluaran CO2 sehingga lebih 60 peratus.


Zoe R110 hadir dengan upholsteri fabrik kitar semula jadi berwarna hitam. 

Sementara Zoe R135  menerima tempat duduk berwarna hitam dengan kombinasi kulit dan fabrik.

Upholsteri fabrik kitar semula yang sama turut digunakan pada band horizontal di tengah papan pemuka. Keseluruhan papan pemuka itu telah direka semula, melibatkan aspek susun atur, penggunaan material baharu yang lembut dan integrasi beberapa skrin berbeza.

Kini lebih ergonomik, butang kawalan jelajah diletakkan di belakang stereng yang turut menampilkan material kitar semula PET.

Renault juga memasang Zoe baharu dengan cermin utama akustik, seterusnya mengurangkan impak bunyi bising dari luar. Sementara motor elektrik menawarkan pemanduan yang lebih senyap dan menyeronokkan.

Terdapat banyak ruang yang berguna di dalam Zoe baharu. Konsol tengah baharu kini menawarkan dua kali ganda ruang penyimpanan yang merangkumi dua tempat meletak botol minuman dan satu ruang untuk pengecasan telefon tanpa wayar. 

Ruang but bagaimanapun tidak berubah iaitu 338 liter.

CIRI-CIRI KESELAMATAN CANGGIH

Infrastruktur elektrikal Renault Zoe baharu yang telah direka semua membolehkannya diintegrasikan dengan sensor-sensor baharu dan fungsi automatik untuk pelbagai sistem bantuan pemandu.


Kedua-dua varian dilengkapi dengan empat beg udara (dua di depan dan dua di bahagian sisi), selain ciri amaran penukaran lorong (lane departure warning, LDW), kawalan kestabilan elektronik (electronic stability control, ESC), anti-slip regulation (ASR), ABS, bantuan brek kecemasan (emergency brake assist, EBA) dan bantuan mendaki (hill start assist, HSA). 

Zoe R135 pula ditambah dengan ciri lampu tinggi adaptif (adaptive high beam, AHB), amaran titik buta (blind spot warning) dan bantuan parkir bebas tangan (hands-free park assist).

Renault Zoe R110  didatangkan dalam warna solid hitam dan putih, manakala Zoe R135 boleh didapati dalam pilihan warna hitam, biru, merah dan ungu.

Setiap Renault Zoe baharu dilengpai dengan kabel 22 kW Type 2, tidak termasuk pengecas boleh alih.

Bagi memudahkan urusan mengecas, pelanggan yang membeli atau melanggan diberi pilihan pemasangan asas pengecas wallbox VESTAL 7 kW pada harga RM6,250 atau wallbox VESTEL 22 kW dengan harga RM6,950 di rumah atau pejabat mereka. Kos termasuk kabel sepanjang 15 meter.

Penghantaran pertama Renault Zoe baharu semua sudah ditempah. 

Pelanggan yang membuat tempahan untuk membeli atau melanggan model penghantaran seterusnya dijangka menerima kereta masing-masing pada Jun atau Julai 2023.

Untuk lebih mudah, pelanggan boleh membeli atau melanggan Zoe baharu menerusi Renault E- Store, yang akan memudahkan proses pembelian secara digital.

SERVIS, JAMINAN

Pelanggan boleh menyelenggara Renault Zoe mereka di enam pusat servis Renault sah di seluruh negara oleh juruteknik yang dilatih untuk menyokong model-model Renault E-Tech seperti Renault Zoe.

Kedua-dua varian hadir dengan jaminan tiga tahun/100,000 km untuk kenderaan dan rangkaian kuasa elektrik. 

Bateri EV dilindungi jaminan selama lapan tahun/160,000 km dengan kapasiti minimum 70 peratus.

Zoe baharu kini sedang dipamerkan di bilik-bilik pameran Renault yang terletak di Petaling Jaya, Selangor dan Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur.

Untuk keterangan lanjut,l layari laman sesawang www.renault.com.my atau hubungi  1800-18-8663 (Isnin-Ahad, 8am-8pm, tidak termasuk cuti umum).

Gallery

Tag:

renaultzoer110
Kongsi Artikel Ini

Ditulis pada

Suhana Veru

Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari

Kongsi melalui

Berita Berkaitan

Video

Tempahan Renault ZOE Generasi Terbaharu Dibuka, Harga Dari RM163K

Renault Malaysia kini telah membuka tempahan bagi kenderaan elektrik (EV) kompak Renault Zoe generasi baharu. Renault Zoe yang ditawarkan di negara ini menggunakan pek bateri lithium-ion 52 kWh dengan kemampuan jarak perjalanan sejauh 395 km (berdasarkan WLTP). Output maksimum kereta ialah 133 hp

27-12-2022

Berita Terkini

EV

EV Bajet TQ Wuling Bingo Bakal Dilancarkan Di Malaysia – CKD, Bawah RM100,000?

Tan Chong Motor Holdings (TCMH) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pengeluar kenderaan elektrik (EV) terkemuka China, SAIC-GM-Wuling (SGM Wuling).

05-05-2025
EV

Perak Mahu Perluas Stesen Cas EV, 500 Pengecas Akan Dibina Tahun Ini

Langkah itu sejajar dengan trend global ke arah pengurangan pelepasan karbon dioksida.

05-05-2025
EV

Thailand Laksana Cukai 'Mesra' PHEV, Malaysia Bila Lagi?

Kerajaan Thailand meluluskan penstrukturan semula cukai kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2026.

05-05-2025
EV

Lebih 6,000 Tempahan di Malaysia, Kini e.MAS 7 Uji Pasaran Singapura

Selepas lebih sedekad, jenama automotif kebanggaan Malaysia, Proton, kini kembali ke pasaran Singapura.

05-05-2025
EV

Kena Intip: Perodua e.MO-II Sedang Diuji Di DUKE

Perodua e.MO-II sedang diuji di DUKE, baru-baru ini.

05-05-2025
EV

Jualan,Pengecasan EV Semakin Melonjak, Bagaimana Pula Langkah Lupuskan Bateri EV?

Biarpun, masih awal untuk bimbang mengenai pelupusan bateri, namun sudah tiba masanya, kerajaan sudah mula mewujudkan loji kitar semula bateri EV yang khusus.

03-05-2025
EV

Bateri CATL Tidak Boleh Terbakar, Meletup

CATL mengesahkan bahawa baterinya tidak boleh terbakar atau meletup, walaupun berlaku kegagalan haba dalaman .

02-05-2025
EV

Pameran Pertama Denza Malaysia Gegar TRX, Ini Yang Menarik

Denza Malaysia membuat kemunculan umum pertamanya di khalayak ramai setelah memasuki pasaran negara secara rasmi pada Februari lalu.

02-05-2025