- Berita
- Global
- Kembar Axia Kini Di Vietnam, Dijual 2 Kali Ganda Lebih Mahal?
Kembar Axia Kini Di Vietnam, Dijual 2 Kali Ganda Lebih Mahal?
Perodua Axia kini memiliki model ‘kembar’ dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD), yang baru saja diperkenalkan di Vietnam pada awal minggu ini. Model yang tidak ubah seperti Axia ini ialah Toyota Wigo. Negara ASEAN tersebut menjadi negara pertama dalam pasaran LHD di rantau ini yang menerima model mini tersebut.
Toyota Wigo dibina berdasarkan platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan hanya ditawarkan dengan enjin 1.2L 3-silinder. Enjin ini dapat menghasilkan kuasa sebanyak 87 hp/112 Nm. Terdapat dua varian yang ditawarkan, iaitu varian asas E dengan transmisi manual 5 kelajuan, dan varian G yang lebih tinggi dengan transmisi automatik D-CVT.
Vietnam ialah negara pertama dalam pasaran LHD di rantau ini yang menerima Wigo
Model yang ditawarkan di Vietnam dibina dan diimport sepenuhnya (CBU) dari Indonesia, tidak hairan kenapa terdapat persamaan dari segi reka bentuk dan spesifikasi model ini dengan Toyota Agya versi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang dijual di republik tersebut. Bezanya? Toyota Wigo menggunakan logo Toyota.
Toyota Wigo di Vietnam memiliki demister dan pemanas tingkap - ciri ini tidak ditawarkan pada Axia
Kedua-dua varian Toyota Wigo dilengkapi lampu hadapan dan lampu siang LED, tempat duduk fabrik, skrin sentuh 7-inci dengan ciri sambungan telefon pintar, 4 speaker, sensor belakang dan kamera undur.
Dari segi keselamatan, kedua-dua varian hanya dilengkapkan dengan 2 beg udara, ABS serta kawalan cengkaman dan kestabilan. Varian yang lebih tinggi, G, ditambah dengan teknologi pemantau titik buta (BSM) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).
Apa yang mungkin mengejutkan ramai adalah harga Toyota Wigo di Vietnam. Wigo varian E, yang menggunakan rim keluli 14-inci dan hub plastik, dijual pada harga VND360,000,000, atau kira-kira RM70,637. Harga ini hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding harga varian asas, Axia 1.0 G, yang dijual di Malaysia.
Sementara itu, varian yang lebih tinggi, G, dijual pada harga VND405,000,000, atau kira-kira RM79,467. Harga ini hampir RM30,000 lebih mahal daripada harga jualan varian paling tinggi Axia iaitu 1.0 AV di negara kita.
Untuk makluman, Vietnam meletakkan kadar cukai yang agak tinggi untuk kenderaan. Walaupun pasaran kereta negara itu berkembang dengan baik sepanjang tahun, kebanyakan penduduk Vietnam lebih suka menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian.
Perodua Axia 1.0 AV
Berdasarkan apa yang kita dapat lihat, kereta mini Perodua Axia di negara kita bukan sahaja jauh lebih murah tetapi lebih lengkap terutamanya dari segi keselamatan selain turut memiliki pelbagai ciri premium.
Tak perlu cari lagi, ini artikel menarik berkaitan dengan Perodua Axia yang terbaru:
Perodua Axia 2023, Lebih Besar, Lebih Canggih Sebab Itu Lebih Mahal
Perodua Axia 2023, Ini Komen Awal Kami!
Perodua Axia 2023 Dilancarkan, Lebih Canggih & Bergaya, Dari RM38.6K
Gallery




Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv