- Berita
- Global
- Toyota C-HR Generasi Kedua Kini Dengan Varian PHEV GR Sport

Setelah beberapa gambaran awal didedahkan pada awal bulan ini, Toyota akhirnya melancarkan Toyota C-HR generasi baharu 2024 semalam.
Diperkenalkan untuk pasaran Eropah, kesemua varian dihadirkan dengan sistem separa elektrik, yang mana dua varian standard menggunakan sistem hibrid siri-paralel (HEV), dan satu varian hibrid plug-in (PHEV) baharu yang hadir dengan gaya lebih sporty, GR Sport.


Varian HEV versi asas menggunakan enjin ZR 1.8L 4-silinder aspirasi natural yang menghasilkan 140 hp, manakala varian lebih tinggi, yang menggunakan enjin 2.0L pula boleh mencapai output 198 HP. Kedua-dua varian menggunakan transmisi e-CVT, namun varian 2.0L ditawarkan dalam dua konfigurasi berbeza iaitu sama ada pacuan roda depan (FWD) atau pacuan kesemua roda (AWD).


Sementara itu, varian PHEV menggunakan enjin 2.0L yang sama dengan varian HEV, sistem ini digabungkan dengan motor elektrik belakang untuk menghasilkan output sistem keseluruhan sebanyak 223 hp. Konfigurasi ini membolehkan C-HR GR Sport PHEV menempuh jarak 0-100 km/j dalam masa hanya 7.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum yang terhad secara elektronik sebanyak 180 km/j. Toyota tidak mendedahkan sebarang butiran tambahan mengenai bateri PHEV C-HR, tetapi yang pasti, ia mempunyai jarak berkuasa elektrik sehingga 66 KM.



Dari segi penampilan, versi pengeluaran C-HR yang baharu tidak jauh berbeza dari prototaipnya, iaitu Toyota Prologue yang dipertontonkan pada tahun 2022. Pandangan hadapannya agak serupa dengan model Toyota baru lain seperti Prius, dengan lampu depan berbentuk seperti huruf C, gril bawah yang menonjol, serta corak yang keseluruhannya kelihatan seperti bentuk kepala penukul.


Dari sudut tepi, jelas terlihat bentuk coupe SUV C-HR yang sporty. Ini disempurnakan lagi dengan pemasangan rim bersaiz 19 atau 20 inci - bergantung kepada varian. Selain itu, semua varian ditawarkan dengan cat badan dua warna.


Di bahagian belakang, dapat dilihat reka bentuk lampu belakang LED yang sama seperti yang diramalkan berdasarkan teaser, yang mana lampu yang memanjang dipisahkan oleh tulisan Toyota C-HR. Selain itu, SUV ini dilengkapi dengan cermin tingkap belakang yang menyendeng dengan spoiler di atasnya, serta bampar yang menyerlah.




Apabila memasuki kabin C-HR baru ini, mata pasti akan terus tertarik untuk memandang skrin infotainmennya yang besar bersaiz 12.3 inci. Di sebalik stereng pula terdapat kluster instrumen digital yang sama besar. Varian yang lebih tinggi dilengkapkan dengan paparan-di-kepala (HUD), sistem pencahayaan ambien 64-warna, bumbung suria, serta sistem audio premium JBL.



Varian GR Sport, menerima sentuhan istimewa GR-S seperti stereng GR Sport, tempat duduk depan GR Sport, serta logo GR dan aksen merah yang ditempatkan di beberapa bahagian di dalam kabin.

Toyota C-HR generasi kedua ini kini dibuka untuk tempahan di pasaran yang terpilih di Eropah. Pengeluaran kenderaan untuk pasaran ini dibuat di kilang Toyota yang terletak di Turki. Memandangkan model ini telah dibangunkan khas untuk pasaran di benua ini, tidak dapat dipastikan sekiranya C-HR baharu akan membuat kemunculan di rantau Asia.

Sekiranya berita ini menarik, mungkin anda juga ingin membaca artikel yang dikongsikan di bawah:
Tag:
Toyota C-HR
Toyota C-HR 2024
C-HR PHEV
C-HR HEV
C-HR GR Sport
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv
