- Berita
- EV
- [GALERI] Ekspo EVM Asia 2023: Pameran Mobiliti Hijau Meriahkan Acara
Nak tahu perkembangan terkini dalam dunia kenderaan elektrik (EV)? Ayuh ke Ekspo EV Antarabangsa, Teknologi Mobiliti, Alat Ganti dan Komponen 2023 (EVM Asia 2023) yang kini sedang berlangsung di MITEC, KL dari 19 hingga 21 September.
Sama seperti sebelum ini, acara EVM Asia diadakan serentak dengan Smart Nation Expo 2023 yang merupakan salah satu pameran teknologi terbesar di rantau ini yang memberi tumpuan kepada teknologi 5G, Bandar Pintar, IR4.0, Web 4.0, Aplikasi dan Solusi Memuncul.
Acara EVM Asia 2023 yang diadakan kali ini berjaya membuktikan perkembangan sektor EV negara melalui pertambahan bilangan vendor yang mempamerkan teknologi dan perkhidmatan EV yang ditawarkan syarikat masing-masing.
Antaranya adalah syarikat penyedia penyelesaian pengecasan EV, syarikat pembekal teknologi EV serta pelbagai lagi penyedia perkhidmatan EV yang lain.
Salah satu pameran yang menarik perhatian ramai terdapat di ruang pameran syarikat ABB Malaysia Sdn Bhd. Di sini, sebuah SUV Mercedes-Benz EQS yang belum dilancarkan di pasaran negara mencuri perhatian ramai yang dipamerkan di samping BMW iX. Kedua-dua model ini digunakan untuk memperlihatkan teknologi pengecas DC syarikat.
ABB Malaysia turut memperkenalkan barisan unit pengecas dinding AC rumah yang tampil dalam pelbagai rekaan menarik. Selain ABB, turut hadir mempamerkan unit pengecasan EV ialah syarikat di bawah Sime Darby, Kineta.
Di ruang pameran pengedar automotif Goh Brothers, terdapat Audi e-tron GT, manakala syarikat pengedar Millenium Autobeyond pula mempamerkan BYD Dolphin dan Atto 3 untuk tatapan umum sambil memberikan pengunjung gambaran yang jelas mengenai status dan arah tuju pasaran EV tempatan.
Ekspo ini juga menyaksikan syarikat pembangun infrastruktur pengecasan EV, Yinson GreenTech mengumumkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi, CelcomDigi. Dipamerkan di tapak pameran Yinson ialah motosikal elektrik dengan bateri boleh tukar terbaru, rydeEV, yang kini boleh dimiliki melalui inisiatif sewa-milik/sewaan yang berpatutan.
Nama terkenal lain yang turut menyertai acara ini ialah Aisin, syarikat pengeluar transmisi Jepun. Mungkin masih ramai lagi yang belum tahu, Aisin juga membangunkan dan menghasilkan pelbagai komponen dan alat ganti kenderaan yang lain termasuk brek dan bendalir, yang semuanya dipamerkan di sini.
Selain transmisi dan alat ganti, firma ini turut mempamerkan potongan e-motor yang dibekalkan untuk Toyota bZ4X.
Banyak lagi pameran menarik lain yang menanti para pengunjung di EVM Asia 2023. Apa tunggu lagi? Ayuh ke sana sebelum tirai dilabuhkan. Kunjungi MITEC, KL, hari ini!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv