- Berita
- Berita Auto
- SUARA PENULIS: Nak Beli Kereta Baharu, Baca Ini!
Baru enam hari kita menjejaki tahun 2024 namun mungkin sudah ramai yang sudah memasang niat untuk membeli kereta idaman mereka.
Pada awal tahun ini, CariCarz.com ada mendedahkan artikel mengenai senarai kereta harga kayangan dan harga marhaen termasuk kenderaan elektrik yang dilancarkan sepanjang tahun lalu.
Antara model EV yang dilancarkan pada tahun lepas.
Berdasarkan pemerhatian penulis, rakyat kita semakin ramai yang mula beralih kepada EV walaupun harganya agak keras.
Di sebalik kehadiran kereta-kereta canggih di pasaran, ramai pula yang menyesal membeli kereta di luar kemampuan mereka.
Jika dulu, senario menunjukkan anak muda yang baru nak mula bekerjaya yang suka memilih kereta bergaya tetapi kini sang isteri yang bekerja pula tersangkut dalam hutang pembiayaan kereta.
Perkara ini juga mula tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
“Isteri cikgu, suami polis. Pasangan mengadu gaji habis bayar loan selepas beli Proton X70, belanja sebulan tinggal RM550!
“Kami belum ada rumah lagi tapi ada dua kereta. Proton X70 dan Perodua Bezza. Bayangkan baki gaji saya tinggal RM400. Suami pula tinggal RM150,” luahnya di satu halaman Facebook baru-baru ini.
APA KATA ORANG?
Menjengah ruangan komen pula, seorang pengguna sosial yang bernama Idah pula meninggalkan komen:
“Kereta baru ini, mula-mula beria sangat beli, bila dah pakai setahun, dua, mula la fedup. Mulalah rasa beban hutan kos, kos servis, roadtax lagi, baru tahu azabnya!,” tulisnya.
Malah, ada juga yang berpendapat, biar papa asalkan bergaya dan ada juga yang menasihatkan biarlah hidup bersederhana daripada bermewahan sehingga membebankan diri sendiri.
Sementara itu, seorang pengguna bernama Aina pula berpendapat:
“Kurangkan komitmen dengan jual salah satu kereta itu. Ni nak nampak mewah tapi hutang keliling pinggang, ukur baju di badan sendiri. Naya ke anak, makan pakai tak cukup.
Seorang lagi pengguna Facebook, Mohammad Amiruddin pula turut menyuarakan ketidakpuasan hati kerana kebanyakannya sanggup menanggung beban demi kereta.
Buat perkiraan sebelum beli kereta.
“Lain kali belilah baju ukur badan orang lain lagi, nak buat sesuatu fikir dulu sembilan tahun bunyi sekejap je, cuba bayar nak tahu, macam-macam boleh jadi dalam masa sembilan tahun. Kereta baru ni guna tiga tahun ke atas je, kita dah mula boring dan beban, ujarnya.
Selain itu, CariCarz.com ada menghubungi seorang kakitangan swasta yang enggan mahu dikenali berkata, dia yang cuma bergajikan RM3000 mengakui pada mulanya tidak mempunyai kereta mewah selain sebuah Kancil yang digunakan untuk berulang alik ke tempat kerjanya.
Dia yang baru bekerja dalam enam bulan ketika itu dipaksa pula oleh suaminya membeli kereta PROTON X70 yang jenis spec paling tinggi.
Hanya kerana mahu memenuhi permintaan suaminya itu, dia pula kini yang terpaksa menanggung beban selama sembilan tahun.
Sudahlah perlu menanggung ansuran bulan lebih RM1,500, sebaik gaji masuk semuanya lesap dalam sekelip mata.
Selain ansuran kereta, dia juga terpaksa menggunakan wang gajinya untuk membayar kelas-kelas tuisyen anaknya.
Yang tinggal hanya dalam RM300, itupun cukup-cukup sehingga hujung bulan.
APA PULA KATA PPIM?
Nadzim.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut mengakui kebanyakan pasangan suami isteri kini lebih gemar membeli kenderaan baharu walaupun pendapatan bersama tidak seberapa.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak ramai yang mula terjerat dengan hutang kereta sehingga sembilan tahun angkara promosi kaw-kaw dan rebat yang ditawarkan kebanyakan pengeluar kereta ketika ini.
Antara pengeluar kereta yang menawarkan rebat.
“Kebanyakan syarikat kereta dilihat cukup bersungguh-sungguh menjual kereta bagi memastikan stok habis.
“Sebaliknya, sebagai pengguna, saya sarankan sebelum membeli kereta, pengguna perlu membuat perkiraan agar di kemudian hari tidak menyesal. Lagipun, situasi ekonomi ketika ini tidak menentu,” katanya kepada CariCarz.com, ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau tidak menafikan kebanyakan pasangan suami isteri kini lebih gemar membeli kenderaan berjenama.
Ditanya mengenai sama ada PPIM ada menerima aduan pengguna berhubungan kesukaran untuk membayar ansuran bulanan, beliau turut mendedahkan satu kes dimana seorang pengguna membeli sebuah kereta jenama Mercedes-Benz.
“Gara-gara tidak bayaran ansuran bulanan, pengguna terbabit dikenakan RM20,000 hanya sebagai upah tarik kereta.
“Jadi, saya nasihatkan kepada orang ramai supaya membuat perkiraan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta baharu,” tambahnya.
Di sebalik kes pembelian kereta ini, penulis berpendapat perkara ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya kita pandai membuat pemilihan.
Maksud saya, setiap daripada kita sudah tahu keadaan kewangan dan komitmen masing-masing.
Andai kata, gaji kita dalam lingkungan RM3,000, sudah pastinya kereta-kereta tempatan sepatutnya menjadi pilihan utama disebabkan harga yang cukup marhaen.
Namun lain pula jadinya kerana apabila kita sudah merancang untuk membeli kereta, sudah pasti ramai yang berangan-angan untuk membeli kereta idaman, misalnya seperti Honda.
Ingat, apapun model kereta idaman anda, anda perlu berpijak di bumi yang nyata dan sedar dengan kemampuan kewangan masing-masing.
Nasihat saya, adalah lebih baik anda membeli kereta yang harganya tidak melebihi daripada jumlah angka gaji setahun.
Sebagai
contoh, gaji sebulan RM3000;
RM3000
x12 bulan = RM36,000.
Jadi, mudah sahaja, apa yang anda perlu buat ialah cari kereta yang bernilai bawah daripada RM36,000.
Tapi sebelum itu, anda kena fikir komitmen yang lain. Ini kerana bayangkan, kalau anda beli Honda Civic RS, sebulan kena bayar lebih RM1600.
Itu baru bayar ansuran kereta, belum lagi kira minyak, tol, parkir, servis kereta. Lagi parah, bila korang dah ada anak. Janganlah sampai gaji baru masuk hari ini, esok dah habis.
Satu lagi formula sebelum membeli kereta ialah pastikan ansuran bulan tidak melebihi 15% daripada gaji namun jika kurang lagi bagus.
Misalnya:
RM3,000X15% = RM450
Dengan perkiraan begini, penulis boleh mencadangkan bagi yang mempunyai gaji sekurang-kurangnya RM3,000, anda boleh mempertimbangkan untuk membeli Axia Rahmah, Myvi 1.3, Perodua Bezza, Proton Saga ataupun Proton Persona.
Pada hemat saya, bagi mereka yang mempunyai gaji di bawah RM3,000, kereta tempatan adalah kereta terbaik untuk dibeli.
Jika nak selamat, belilah kereta Perodua.
Selain jimat, ia sebenarnya boleh membuatkan anda tidaklah berasa begitu terbeban untuk membayar ansuran bulan.
Perkara itu turut diakui Perodua sebelum ini.
Axia.
Terdahulu semasa pelancaran Axia Rahmah pada tahun lepas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, model Perodua Axia.
"Perodua Axia E adalah sebahagian daripada objektif asal kami untuk menyediakan mobiliti yang mampu milik dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia," katanya.
Zainal Abidin.
Bayangkan, hanya RM300 diperlukan untuk membayar kos sewa beli setiap bulan untuk memiliki Axia E.
Memanglah anda tidak nampak bergaya memakai kereta-kereta kompak seperti Axia tapi malangnya, ramai yang tidak memandang kereta-kereta tempatan sebegini.
Bagi penulis, biar pakai kereta biasa daripada nama diisytiharkan muflis.
Menyentuh mengenai muflis, berdasarkan statistik kebankrapan di Malaysia, Jabatan Insolvensi Malaysia ada menyiarkan statistik sepanjang tahun lepas.
Biarpun kategori kebankrapan bagi sewa beli kenderaan untuk tahun 2023 dilihat menurun iaitu cuma 292 orang namun ia tetap berada di tangga ketiga.
Antara model yang paling diminati ialah Axia dan Myvi kerana harganya murah.
Biarpun statistik tidak menunjukkan trend peningkat namun kena ingat, beli kereta ini bukan perlu beri semangat macam nak lumba lari.
Kita nak pakai apa-apa, kena buat perkiraan terlebih dahulu, pastikan ,sesuai tak dengan pendapatan dan keperluan kita.
Ini tidak,tengok orang pakai Honda kita pun nak pakai.
Apa yang paling teruk apabila bank susah nak lulus pinjaman kenderaan sehingga terpaksa menggunakan khidmat penjamin.
Itu namanya, kita TAK LAYAK memiliki kereta yang mahu dibeli itu.
Apabila kita sanggup mendapatkan penjamin, asalkan dapat memiliki kereta idaman, akhirnya, anak bini jadi mangsa bila dah tak mampu bayar.
Nasihat saya, jika teringin sangat nak pakai kereta mulakan dengan kereta murah. Dari situ kita akan belajar bagaimana nak ‘bela’ kereta.
Pendek kata: ‘Ukur baju di badan sendiri’!
Gallery
















Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari