- Berita
- Berita Auto
- Proton Saga Rai Ulang Tahun Ke-40, Lebih 2 Juta Unit Sudah Terjual Sejak Diperkenal 1985
Proton Saga Rai Ulang Tahun Ke-40, Lebih 2 Juta Unit Sudah Terjual Sejak Diperkenal 1985
Proton Saga meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-40 tahun semalam dan sepanjang 40 tahun itu, lebih 2 juta unit Proton Saga sudah terjual di seluruh dunia sejak ia diperkenalkan pada 9 Julai 1985.
Harganya yang mampu milik terus menarik perhatian golongan siswazah baharu dan pembeli kereta kali pertama,seklai gus membuktikan kedudukannya yang masih relevan dalam pasaran hingga ke hari ini.
Untuk itu, Proton Saga diiktiraf sebagai ikon nasional serta model PROTON paling laris dengan lebih dua juta unit di jual di seluruh dunia.
Eksekutif Program Kenderaan PROTON, Desmond John Pinto mengakui dengan dengan sokongan rakyat Malaysia selama empat dekad, Proton Saga bukan sekadar sebuah model ikonik, tetapi lambang mobiliti dan kemajuan negara.
"Ketika kami menyambut ulang tahun ke-40, Saga terus memainkan peranan penting sebagai kereta pertama pilihan ramai. Dengan pelancaran model baharu yang bakal tiba, kami yakin Saga akan terus relevan dan menjadi pilihan generasi seterusnya,” katanya.
Sepanjang empat dekad, Proton Saga telah melalui pelbagai perubahan bagi memenuhi cita rasa dan keperluan semasa para pengguna. Namun, ia tetap mengekalkan ciri-ciri utama yang menjadi kekuatannya iaitu praktikal, mampu milik serta keupayaan pengendalian yang terbaik dalam kelasnya.
Kualiti Proton Saga juga telah dipertingkatkan dengan ketara, berdasarkan penurunan skor dalam Global Consumer Product Audit (GCPA) daripada 2,580 mata pada Ogos 2024 kepada hanya 1,050 mata pada Mei 2025.
Sebagai sedan segmen-A, Proton Saga memenuhi pelbagai keperluan pembeli muda yang mementingkan prestasi yang baik, pemanduan lancar, kos penyelenggaraan yang rendah, kecekapan penggunaan bahan api, serta ruang dalaman yang luas.
Antara ciri yang turut menarik perhatian golongan muda adalah sistem infotainmen dengan skrin terapung bersaiz 7 inci dan penyambungan Bluetooth.'
Bagi meraikan legasi berterusan model ini serta mengukuhkan hubungan dengan para pelanggan setia, PROTON telah melancarkan pertandingan pandu uji “Saga, Ikon Malaysia Sejati”. Pertandingan ini menggalakkan rakyat Malaysia untuk menilai sendiri keistimewaan model ikonik ini.
Berlangsung dari 3 Mei hingga 31 Julai 2025, peserta hanya perlu mengunjungi mana-mana cawangan PROTON di Lembah Klang, pandu uji Proton Saga dan memuat naik foto atau video pengalaman mereka ke platform media sosial.
Untuk melayakkan diri, semua hantaran mesti menggunakan tanda tandapagar SAGATrueMalaysianICON dan profil perlu dikekalkan dalam tetapan umum.Pemenang akan dipilih menerusi cabutan secara langsung di saluran media sosial rasmi PROTON pada bulan berikutnya.
Hadiah utama berupa pengalaman eksklusif menaiki Proton Saga bersama duta kempen, termasuk personaliti terkenal seperti Irfan Haris, Jayden Chong dan Mimiflyy.
Kempen ini bukan sahaja memberikan pengalaman istimewa kepada peserta bersama Proton Saga, malah turut membuka peluang untuk menyertai kempen pandu uji PROTON yang lain, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.
Malah, Proton turut melancarkan model Hot Wheels Proton Saga edisi terhad sempena ulang tahun ke-40 Proton Saga.
MODEL HOT WHEELS EDISI TERHAD!
Sempena ulang tahun ke-40 Proton Saga, model putih ini kini hadir dalam edisi terhad dengan ilustrasi khas oleh Saw Jane Harn iaitu pemenang pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition 2023.
Model ini mula dijual di kedai terpilih mulai 7 Julai dan turut boleh didapati di semua pusat jualan PROTON di seluruh
negara melalui promosi khas untuk pelanggan PROTON.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/