- Berita
- Berita Auto
- Chery Tiggo Cross CKD Mula Dipasang Di Kilang Inokom, Kulim
Beberapa minggu selepas pelancaran rasminya di Malaysia, Chery Tiggo Cross kini mula dihasilkan di kilang pemasangan Inokom di Kulim, Kedah. Kedua-dua varian CSH Hybrid dan Turbo untuk model ini kini dipasang secara tempatan (CKD), menjadikannya model hibrid Chery pertama yang dihasilkan di Malaysia.
Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew, menyatakan kebanggaannya terhadap usaha pengeluaran tempatan ini yang memanfaatkan kepakaran tempatan dan kerjasama strategik demi memastikan kualiti global disesuaikan dengan keperluan tempatan.
"Pemasangan Tiggo Cross di Malaysia menegaskan komitmen mendalam Chery terhadap pasaran tempatan dan memperkukuh keupayaan menawarkan kenderaan yang lebih kompetitif serta mudah diakses,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Urusan Inokom Corporation Sdn Bhd, Sui Keng Huat, turut mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Chery kepada Inokom sebagai rakan kongsi strategik, menegaskan bahawa pelancaran model baharu ini adalah bukti kerjasama erat dan aspirasi sama kedua-dua pihak.
Teknologi Hibrid & Turbo Canggih
Chery Tiggo Cross 1.5 CSH Hybrid
Di Malaysia, Chery Tiggo Cross ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 CSH Hybrid dan 1.5 Turbo. Varian CSH Hybrid disematkan dengan sistem Super Hybrid (CSH) Chery yang menggunakan teknologi hibrid selari (HEV) 1.5 liter, dengan keupayaan mencapai jarak perjalanan sehingga 1,000 km bagi setiap tangki bahan api yang penuh.
Chery Tiggo Cross 1.5 Turbo
Sementara itu, varian asas, Turbo, dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter empat silinder turbo, dipadankan dengan transmisi automatik DCT enam kelajuan yang menghasilkan 145 hp dan tork 210 Nm kepada roda hadapan, ini membolehkannya membuat pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 9.9 saat.
Tiggo Cross 1.5 Turbo dijual pada harga bermula RM88,800 dan hadir dalam warna Carbon Black, Phantom Grey, Khaki White dan Blood Stone Red. Manakala, varian 1.5 CSH Hybrid pula berharga RM99,800 dengan pilihan warna Carbon Black, Phantom Grey, Khaki White dan Moonlight Silver.
Tiggo Cross Terima Permintaan Tinggi
Sebagai salah satu model penting Chery di peringkat global, Tiggo Cross telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan jenama di arena antarabangsa dan membina kepercayaan pengguna di luar negara. Baru-baru ini, Chery meraikan pencapaian eksport sejuta unit Tiggo Cross dari Pelabuhan Dalian, China, menunjukkan penerimaan yang memberangsangkan di pasaran luar negara.
Di Malaysia pula, pelancaran model ini telah mendapat sambutan positif dengan lebih 1,000 tempahan diterima hanya dalam beberapa minggu selepas mula dijual.
Baca: Chery Tiggo Cross Laku Keras, Dalam 2 Bulan, Angka Tempahan Sudah Cecah 1,000 Unit
Baca: Chery Tiggo Cross Dilancar, Ada 2 Varian, Harga TAK Sampai RM100,000
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv