- Berita
- Global
- SUV Ranggi iCaur V27 Diperkenalkan Di Dubai – REEV 449 HP
Jenama kenderaan elektrik (EV) di bawah Chery, iCaur, telah membuat kemunculan rasmi di Dubai dengan pengenalan model iCaur V27. Ketibaan model ini di Dubai jelas menunjukkan hasrat syarikat untuk mengembangkan pasaran eksportnya, khususnya di Timur Tengah yang terkenal dengan permintaan tinggi terhadap kenderaan pacuan empat roda berbadan ranggi serta sarat teknologi canggih.
Teknologi Hibrid REEV
SUV lasak yang mendapat jolokan ‘G-Class China’ ini dibina atas platform kenderaan elektrik jarak lanjutan (REEV), menggunakan enjin petrol turbo 1.5 liter 4 silinder sebagai penjana untuk menggerakkan motor elektriknya.
Walaupun spesifikasi penuh belum diumumkan, Chery menjanjikan jarak elektrik sehingga 200 km (berdasarkan CLTC) serta penawaran varian pacuan roda belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD). Varian AWD dijangka mampu menghasilkan kuasa sehingga 335 kW (449 hp), meletakkanya dalam kelas SUV berprestasi tinggi.
Rekaan Ranggi Yang Menyerlah
Dengan panjang hampir lima meter, iCaur V27 boleh diposisikan dalam kelas yang sama dengan Mercedes-Benz G-Class serta Land Rover Defender 110. Rekaannya cukup menyerlah dengan dengan lampu LED berbentuk segi empat dengan lampu nyalaan siang (DRL) bulat, cermin sisi besar, lampu belakang LED menegak, bukaan but belakang jenis swing-out dengan kotak simpanan dan pelindung bawah badan yang tahan lasak.
Versi yang dipamerkan di Dubai juga menampilkan ciri ‘klasik’ kenderaan pacuan empat roda yang lasak seperti bumbung yang direka rata, lengkungan roda yang menonjol dan tayar simpanan di belakang.
Kabin Berteknologi Tinggi
Walaupun reka bentuk dalaman masih belum didedahkan, iCaur V27 dijangka hadir dengan kabin yang sarat teknologi dan ciri mewah seiring model-model lain dalam rangkaian iCaur. Memandangkan iCaur merupakan kolaborasi antara Chery dan Xiaomi, teknologi pemanduan pintar Tahap 2 (L2 ADAS) serta sambungan pintar dijangka akan didatangkan sebagai ciri standard.
Pelan Pemasaran Global
SUV ini akan mula dijual di China pada suku keempat 2025 dengan harga di antara RMB200,000 hingga RMB250,000 (kira-kira RM119,000 hingga RM149,000). Pengenalan model ini di Dubai menunjukkan bahawa iCaur V27 bukan sahaja akan ditawarkan untuk pasaran China, tetapi juga bakal muncul sebagai antara model penting di pasaran global.
iCaur Di Malaysia
Di Malaysia, jenama iCaur dijangka akan menembusi pasaran negara pada suku ini dengan model pertama, iCaur 03 EV. Model SUV segmen B ini pertama kali diperkenalkan semasa Malaysia Autoshow 2025 dan bakal ditawarkan dalam dua varian pada harga sekitar RM145,000. Sebaik dilancarkan nanti, Malaysia bakal muncul sebagai pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) pertama yang menerima iCaur 03.
Baca: SUV Elektrik Ranggi, iCaur 03 Bakal Dilancarkan Q3 2025 – Dari RM145K
Baca: Imej Acah Chery iCar V27 Didedahkan – Digelar "G-Class China"
Sumber: CarNewsChina, Menews247
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv