- Berita
- Berita Auto
- Berita Baik! Ujian RTS Link JB-Singapura Berjaya

Ada berita baik untuk anda!
Ini kerana fasa akhir bagi Ujian Integrasi Sistem di Luar Tapak (OSIT) Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura berjaya dilakukan di Singapura, kelmarin.
RTS Operations Sdn Bhd (RTSO) berkata, kejayaan itu satu pencapaian penting yang dicapai hasil kerjasama erat semua pihak berkepentingan dari Malaysia dan Singapura.
"OSIT ialah ujian komprehensif yang menghimpunkan semua komponen utama seperti sistem tren, sistem isyarat, pintu skrin platform dan komunikasi bagi memastikan kesemuanya berintegrasi dan beroperasi dengan lancar sebagai satu rangkaian yang bersatu.
"Ia boleh diibaratkan seperti 'latihan penuh' untuk keseluruhan sistem tren, isyarat, pintu platform dan komunikasi bagi memastikan semuanya berfungsi dengan selamat, boleh dipercayai dan cekap," katanya.
Menurut kenyataan itu, bermula pada Disember tahun lalu di Singapore Rail Test Centre (SRTC), program OSIT mencapai beberapa pencapaian penting dengan ketibaan tren pertama pada April lalu dan ujian dinamik bermula pada Julai lalu.
Sejak itu, SRTC menjadi pusat aktiviti pasukan dari Malaysia dan Singapura bekerja untuk menjalankan ujian yang ketat terhadap sistem itu.
"Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan teknikal. OSIT adalah bukti komitmen bersama dan persahabatan antara Malaysia dan Singapura dalam memastikan kecemerlangan perkhidmatan yang bakal menghubungkan kedua-dua negara.
"Ia juga mencerminkan akauntabiliti yang kukuh, tadbir urus yang telus dan pelaksanaan yang berdisiplin oleh pasukan projek.
"Dengan kejayaan ini, kami kini melangkah yakin ke fasa seterusnya iaitu ujian dan pentauliahan di tapak sebenar.
"Kini kita semakin hampir merealisasikan impian untuk membolehkan penumpang merentasi sempadan dengan lebih mudah dan lancar," katanya.

RTS Link dijangka memulakan operasi penumpang menjelang Disember tahun depan, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands North di Singapura.
Apabila beroperasi kelak, RTS Link akan menggunakan lapan set tren tanpa pemandu, setiap satu terdiri daripada empat gerabak dengan kapasiti membawa lebih 600 penumpang setiap tren.
RTS Link akan mempunyai kapasiti puncak sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/