- Berita
- Global
- Dilancar: Nissan Frontier Pro - Harga Bermula Daripada RM99,800

Walaupun model Nissan Frontier tidak pernah masuk ke Malaysia namun model itu sudah menembusi pasaran China, baru-baru ini.
Dikhabarkan, Zhengzhou Nissan telah melancarkan trak pikap Nissan Frontier Pro, dengan harga serendah 169,900 yuan (RM99,800) hingga 249,900 yuan (RM146,000) di China.
Ketibaan generasi baharu Frontier Pro ini menandakan peristiwa penting untuk Nissan kerana ia merupakan produk pertama yang direka dan dihasilkan sepenuhnya di China.
Difahamkan, model itu akan dipasarkan secara global nanti.

Melihat luaran Frontier Pro, trak pikap ini agak menonjol manakala dari segi dimensi, ia berukuran panjang 5,520 MM, lebar 1,960 MM, tinggi 1,950 mm, dan jarak roda 3,300 mm.
Sementara itu, ruang kargonya juga agak luas iaitu berukuran 1,520 mm panjang, 1,600 mm lebar, dan ukuran dalamannya pula 490 MM dalam.
Model terpilih turut menampilkan pintu belakang soft-down elektrik untuk kemudahan tambahan.
Rekaan berbeza antara varian bahan api dan PHEV. Model bahan api mengekalkan gaya V-Motion klasik Nissan yang diperbaharui untuk daya tarikan moden. PHEV pula hadir dengan pendekatan lebih elektrik dan berteknologi tinggi, selari dengan trend pasaran EV masa kini.


Menjengah kabinnya, ia dilihat menggabungkan elemen praktikal dan teknologi.Terdapat skrin instrumen digital dan skrin tengah bersaiz besar mendominasi papan pemuka, manakala deretan butang fizikal masih ditempatkan pada konsol tengah untuk kemudahan penggunaan.
Terdapat juga sentuhan premium termasuk bahan soft-touch dan sistem audio JLA 12 pembesar suara, mewujudkan pengalaman dalaman yang selesa dan berkualiti tinggi.
Mengenai trenkuasa, ia hadir dengan enjin petrol 2.0T dimana ia mampu menghasilkan kuasa setakat 258 hp dan 400 Nm, manakala enjin diesel 2.3T pula menjana kuasa setakat 190 hp dan 500 Nm.
Enjinnya dipadankan dengan transmisi automatik 8 kelajuan.

Sementara itu, versi PHEV pula menggabungkan enjin 1.5T dengan motor elektrik yang dipasang di hadapan. Versi ini secara keseluruhannya mampu menghasilkan kuasa setakat 320 kW (429 HP) dan 800 Nm, dan dipadankan dengan transmisi DHT 4 kelajuan.
Ia juga menawarkan jarak pemanduan elektrik sejauh 135 km.
Dengan pelancaran Frontier Pro, Nissan meletakkan dirinya sebagai pesaing sengit dalam pasaran trak pikap di China.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/