- Berita
- Berita Auto
- Pos Malaysia Lakar Sejarah, Lancar Kenderaan Tanpa Pemandu

Buat julung kalinya, Pos Malaysia Bhd melancarkan kenderaan autonomi (AV) pertama di Malaysia yang bertujuan untuk memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju logistik moden di peringkat nasional.
Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar, berkata inisiatif kenderaan autonomi ini merupakan pencapaian penting dalam usaha mentransformasikan Pos Malaysia menjadi penyedia logistik yang moden, inovatif dan lestari.
"Teknologi seperti Zelos bukan sahaja mewakili kemajuan dari segi automasi, malah berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api, mengoptimumkan laluan penghantaran dan meminimumkan pembaziran dalam operasi harian, sejajar dengan komitmen syarikat terhadap kemampanan," katanya.

Teras kepada inisiatif ini adalah pengenalan Zelos, kenderaan logistik autonomi tanpa pemandu sepenuhnya yang menggunakan tenaga elektrik 100 peratus dan tidak menghasilkan pelepasan karbon. Ia direka khusus untuk operasi penghantaran perniagaan ke perniagaan (B2B) berisipadu tinggi dan berulang dari titik ke titik.
Inisiatif ini turut disokong oleh sambungan 5G yang disediakan oleh Digital Nasional Bhd (DNB).
Zelos ketika ini mengendalikan lebih 15,000 kenderaan autonomi di beberapa negara termasuk China, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyokong pelbagai aplikasi logistik dunia sebenar.

Pengalaman dan skala penggunaan ini menjadi asas kukuh untuk mempercepatkan penggunaan logistik autonomi Tahap 4 di Malaysia.
Pengenalan kenderaan autonomi elektrik ini juga mengukuhkan komitmen Pos Malaysia terhadap Pelan Hala Tuju Kemampanan yang memberi penekanan kepada penyahkarbonan dan kecekapan operasi.
Sebagai langkah awal, Pos Malaysia dan ALS akan melaksanakan projek Proof of Concept (PoC) selama enam bulan dalam persekitaran operasi sebenar.
Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Futurise bagi memastikan pematuhan terhadap rangka kerja peraturan, keselamatan dan pembangunan kenderaan autonomi negara, sekali gus membuka jalan ke arah penggunaan logistik autonomi yang lebih meluas, selamat dan lestari di Malaysia.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/