- Berita
- Berita Auto
- Perodua, UTM Jalin Kerjasama, Latih Jurutera Masa Depan
Siapa kata Malaysia ketinggalan dalam teknologi kenderaan elektrik?
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan PERODUA membuka lembaran baharu dengan memeterai kolaborasi strategik selama lima tahun melalui 'Program Kejuruteraan xEV PERODUA-UTM'.
Fokus utama kerjasama ini bukan sekadar kajian di dalam kelas, malah untuk memperkasakan modal insan yang benar-benar pakar dalam teknologi xEV bagi mendepani cabaran mobiliti hijau di negara ini.
Apa yang menarik, program ini akan memilih 10 hingga 15 pelajar cemerlang Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian setiap tahun untuk mengikuti program khas ini selama satu setengah tahun . Graduan terpilih ini bukan sahaja akan memiliki daya saing tinggi, tetapi juga sepenuhnya bersedia (future-ready) untuk menyertai industri automotif moden.
Pelajar terpilih akan menjalani latihan industri di PERODUA selama 10 minggu dan berpeluang memperoleh pensijilan antarabangsa Institute of the Motor Industry (IMI) Level 3.
Selain itu, Projek Sarjana Muda (FYP) mereka akan diselia secara bersama oleh jurutera pakar PERODUA bagi memastikan hasil kajian memenuhi piawaian industri.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, inisiatif itu adalah langkah proaktif syarikat dalam membina ekosistem xEV yang mampan serta kompetitif di peringkat global.
"Kerjasama ini bukan sekadar pemindahan teknologi, malah ia adalah pelaburan jangka panjang untuk melahirkan jurutera 'masa hadapan' yang mahir dalam kejuruteraan kenderaan elektrik. Dengan bimbingan terus daripada jurutera kami, pelajar akan didedahkan kepada realiti sebenar industri automotif moden," katanya.
Sebagai sokongan kepada program tersebut, PERODUA turut menyumbangkan peralatan teknikal dan dua unit kenderaan PERODUA QV-E bagi tujuan pembelajaran praktikal di Makmal Kejuruteraan xEV PERODUA-UTM.
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/