- Berita
- Berita Auto
- Kes Tukar Hak Milik Tanpa Pengetahuan Pemilik, JPJ Tangguh Urusan Online
Kes Tukar Hak Milik Tanpa Pengetahuan Pemilik, JPJ Tangguh Urusan Online

Bayangkan kereta kesayangan anda tiba-tiba bertukar nama kepada orang lain tanpa sedar? Susulan beberapa aduan di media sosial mengenai insiden "tukar hak milik tanpa pengetahuan pemilik", Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengambil tindakan drastik.
Bermula hari ini (25 Mei), semua urus niaga Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara online DITANGGUHKAN SERTA-MERTA.


Platform Digital Mana Yang Terkesan?
Sekatan ini melibatkan semua saluran digital utama. Anda tidak lagi boleh melakukan urusan ini di:
Portal Awam JPJ & Kiosk JPJ
MyEG
eAuto Sdn Bhd (Sistem eSTM ditangguhkan, hanya sistem tukar sementara [STMS] sahaja yang masih aktif).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan kawalan serta-merta itu diambil susulan beberapa aduan rasmi dan aduan di media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.

"JPJ memandang serius perkara ini, khususnya yang membabitkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ.
"Sehubungan itu, bermula hari ini (25 Mei), semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ," katanya.
Nak Tukar Nama Kenderaan? Ini SOP Baharu Anda:
Bagi melindungi keselamatan aset anda, semua urusan THM (kategori individu & syarikat) kini wajib dilakukan secara fizikal di kaunter Pejabat JPJ negeri atau cawangan.
Berikut adalah tempoh proses baharu yang ditetapkan:
| Kategori Pemilik | Tempoh Proses | Nota Penting |
| Persendirian Individu | Selesai hari yang sama | Urusan terus di kaunter JPJ negeri/cawangan. |
| Persendirian Syarikat | 5 hingga 7 hari bekerja | Bermula dari tarikh penyerahan dokumen yang lengkap. |
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/


