- Berita
- Berita Auto
- Kadar Tambang ECRL Tular Cuma Spekulasi, Harga Rasmi Belum Diumum – MRL
Kadar Tambang ECRL Tular Cuma Spekulasi, Harga Rasmi Belum Diumum – MRL

Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengesahkan kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum diumumkan secara rasmi sehingga kini.
MRL dalam satu kenyataan berkata, sebarang kadar tambang yang sedang tular di media sosial hanyalah spekulasi dan tidak mewakili kadar sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Januari 2027.
"Kadar tambang ECRL sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan, termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), bagi memastikan ia kekal berpatutan, kompetitif dan mesra pengguna, selaras dengan matlamat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti kepada rakyat.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan. Kadar tambang rasmi akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia setelah proses penilaian dan kelulusan dimuktamadkan," katanya.
Kenyataan sama berkata, pihak MRL menghargai keterujaan orang ramai terhadap ECRL dan memohon semua pihak untuk menunggu pengumuman rasmi melalui saluran komunikasi ECRL, MRL dan Kementerian Pengangkutan Malaysia
"Kadar tambang yang ditetapkan nanti akan mengambil kira kepentingan rakyat serta memberikan nilai terbaik kepada pengguna. Jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
"Pengoperasian ECRL bakal memendekkan masa perjalanan dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak dalam tempoh empat jam, berbanding sekitar tujuh jam jika menggunakan jalan raya," tambahnya.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

