- Berita
- Berita Auto
- Selesaikan Masalah Kemalangan, 297 Lampu LED Solar Dipasang Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak
Selesaikan Masalah Kemalangan, 297 Lampu LED Solar Dipasang Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak

Bagi anda yang sering memandu di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), laluan ini bukan sahaja terkenal dengan kes kemalangan tetapi pelbagai cerita mistik.
Ditambah pula dengan keadaan jalan yang licin dan gelap gelita pada waktu malam, perjalanan sering dirasai mencabar serta mendebarkan.
Namun, cerita-cerita seram dan igauan ngeri "zon gelap" ini dijangka bakal berakhir!
297 Lampu Jalan LED Berkuasa Solar Menerangi 26 Kilometer Lebuhraya Karak
Dalam usaha rasmi meningkatkan keselamatan pengguna, sebanyak 297 unit lampu jalan LED berkuasa solar kini sedang dipasang di lokasi berisiko di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
- Inisiatif: Pemasangan 297 unit lampu jalan LED berkuasa solar di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) untuk mengatasi masalah zon gelap waktu malam.
- Lokasi & Jarak: Melibatkan jarak 26 kilometer dari selepas Terowong Genting Sempah hingga ke Persimpangan Mempaga secara berperingkat.
- Sasaran Keselamatan: Mitigasi dan penambahbaikan di 13 lokasi blackspot (kawasan kerap kemalangan) di Lebuhraya KLK dan LPT1 bagi tahun 2026.
- Peruntukan: Dibiyai menerusi peruntukan dalaman Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebanyak RM30 juta di bawah Belanjawan 2026.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemasangan lampu jalan di lokasi yang dikenal pasti kini sedang dilaksanakan secara berperingkat, bermula dari kawasan selepas Terowong Genting Sempah hingga ke Persimpangan Mempaga melibatkan jarak kira-kira 26 kilometer.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat konsesi turut melaksanakan pemantauan serta penambahbaikan di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan atau ‘blackspot’.
“Berdasarkan analisis data kemalangan tahunan, sebanyak 13 lokasi ‘blackspot’ di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dikenal pasti untuk tindakan penambahbaikan serta mitigasi bagi tahun 2026,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Negara.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
