- Berita
- Kereta Baru
- Kenderaan perisai pertama buatan Malaysia
MILDEF International Technologies (MILDEF), syarikat perkhidmatan automotif kegunaan industri pertahanan Malaysia memperkenalkan nama rasmi kenderaan perisai mobiliti tinggi pacuan empat roda (HMAV 4x4)) sebagai Tarantula baru baru ini.




Majlis itu dirasmikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kem Perdana Sungai Besi, pada Jumaat lalu.

Susulan pelancaran jentera itu, beberapa media tempatan melaporkan bahawa kenderaan HMAV yang merupakan buatan pertama Malaysia itu telah menjalani beberapa ujian penilaian sebelum ia secara rasminya dinamakan Tarantula.
Jentera itu menjalani ujian selama sembilan hari daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Kementerian Pertahanan.
Ia merangkumi ujian ketahanan di lebuh raya, penggunaan bahan api, mengangkat beban, ujian mendaki, ujian kawasan cerun dan penggunaan brek dimana ia membabitkan perjalanan sejauh 700 kilometer (km) di atas jalan raya dan 300 km secara “off road”.
Ujian itu dijalankan berdasarkan piawaian yang ditetapkan oleh Tentera Darat Malaysia.
Berikut merupakan beberapa fakta mengenai HMAV 4x4:
1. Nama kenderaan berperisai ini diambil daripada nama Tarantula iaitu kumpulan labah-labah bertaring yang besar. Ia berasal daripada spesies “earth tiger di Asia. Spesies yang unik itu dikatakan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia.
2. Tarantula HMAV 4x4 mampu mencapai kelajuan tertinggi sehingga 110 kilometer sejam.
3. Kenderaan ini dihasilkan menerusi platform modular yang dilengkapi dengan spesifikasi asas dan paling maju bagi memenuhi keperluan spesifikasi standard negara.
4. Tarantula HMAV 4x4 direka untuk memuatkan sistem senjata yang moden termasuk Sistem Alat Kawalan Senjata Jauh bagi membolehkan ia melancarkan tembakan setinggi 360 darjah ketika pertempuran.
5. Sistem perlindungan perisai itu turut dikatakan mematuhi piawaian antarabangsa yang dikenali sebagai Stanag 4669 Level 2B bagi perlindungan di bahagian bawah dan Stanag 4569 Peringkat 2 untuk melindungi perisai badan kenderaan itu termasuk kru.
6. Jentera gergasi yang seberat 14 tan ini dikuasai dengan enjin diesel Caterpillar.
7. Kenderaan ini menggunakan sistem suspensi jenis bebas dengan spring coil yang bukan sahaja meningkatkan pergerakan tetapi turut menawarkan keselesaan.
8. Ia dilengkapi dengan ciri Sistem Inflasi Sistem Inflasi Tayar Berpusat yang boleh diakses dari panel papan pemuka dimana ia boleh mengisi tekanan udara atau mengeluarkan tekanan berlebihan daripada tayar.
9. Pintu belakang Tarantula ini didatangkan dengan sistem hidraulik yang sesuai dengan misi ketenteraan atau untuk mana-mana misi pengaman Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu.
Sehubungan itu, proses pembangunan Tarantula HMAV4X4 dikatakan telah mengambil masa empat tahun dengan kos berjumlah RM16 juta untuk menghasilkan prototaip itu.
Gallery
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/