- Berita
- Kereta Baru
- Jaecoo J5 EV Didedah, 211 Hp, Jarak Gerak 402km

Buat julung kalinya, OMODA | JAECOO Malaysia menayangkan Jaecoo J5 EV sempena ekspo Oh My Meow! Expo 2026 yang sedang berlangsung di Mid Valley bermula hari ini hingga 19 Julai nanti.
Ketua OMODA | JAECOO Malaysia, Encik Chris Tan, berkata, JAECOO J5 EV menandakan satu pencapaian penting sebagai kenderaan elektrik sepenuhnya yang pertama daripada OMODA | JAECOO Malaysia.




"Ia mencerminkan komitmen kami untuk memperluaskan portfolio produk elektrik kami di samping memenuhi keperluan pengguna Malaysia yang sentiasa berkembang.
"Penampilan umum pertamanya di Oh My Meow! Expo 2026 membolehkan kami memperkenalkan J5 EV dalam suasana gaya hidup yang unik, yang melengkapi reka bentuk mesra haiwan peliharaan, teknologi pintar, serta kepraktisan harian model ini menjelang pelancaran rasminya," katanya.


Difahamkan, JAECOO J5 EV disasarkan untuk semua terutama kepada pencinta haiwan peliharaan. Model ini adalah model pertama di dunia yang menerima pensijilan dalaman mesra haiwan daripada TÜV SÜD.
Ia menggunakan bahan kabin yang lebih tahan calar dan bau, selain susun atur ruang serta sistem kawalan suhu yang direka untuk memastikan haiwan peliharaan lebih selesa sepanjang perjalanan.
Sebagai SUV elektrik sepenuhnya yang pertama daripada OMODA | JAECOO Malaysia, J5 EV dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda hadapan yang menghasilkan kuasa setakat 155 kW (211 hp) dan tork 288 Nm, sekali gus memberikan prestasi yang lancar dan responsif untuk ulang alik harian mahupun pengembaraan hujung minggu.
JAECOO J5 EV dilengkapi dengan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) CATL berkapasiti 58.9 kWh, yang menawarkan jarak pemanduan WLTP sehingga 402 KM. Direka untuk kemudahan harian, bateri ini menyokong pengecasan pantas DC dari 30% hingga 80% dalam masa 28 minit sahaja.

J5 EV juga menampilkan fungsi Vehicle-to-Load (V2L), yang membolehkan pemilik membekalkan kuasa elektrik terus daripada kenderaan kepada peranti elektrik luaran yang serasi. Ciri ini menjadikannya teman ideal untuk aktiviti perkhemahan, aktiviti luar dan gaya hidup aktif.
Ciri-Ciri Utama: Teknologi, Keselesaan dan Ruang
JAECOO J5 EV mempertingkatkan lagi pengalaman pemilikan melalui rangkaian ciri-ciri mendahului kelasnya yang memfokuskan kepada Teknologi, Keselesaan dan Ruang.
JAECOO J5 EV menyatukan teknologi pintar yang meningkatkan kemudahan, keselamatan, serta keyakinan memandu:
- Teknologi Active Grille Shutter (AGS).
- Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) Tahap 2+.
- Sistem Kamera Pandangan Sekeliling 540° HD
- Skrin Infotainmen Pusat 2K 13.2-inci
Bukan itu sahaja, setiap aspek kabin telah direka dengan mengutamakan keselesaan:
- Bumbung Kaca Panorami 1.45m²:
- Cermin Sisi Hadapan Dwi-Lapisan (Double-Glazed).
- Suspensi Belakang Multi-link.
- Kawalan Iklim Automatik Dwi-Zon.
Selain itu, ia turu hadir dengan:
- But Hadapan (Frunk) 35-liter: Menyediakan storan tambahan untuk barangan keperluan harian.
- Ruang Kargo Belakang 480-liter: Menawarkan kapasiti bagasi yang luas untuk perkelahan keluarga, membeli-belah atau aksesori haiwan peliharaan.
- 35 Ruang Storan Pintar: Disepadukan secara strategik di seluruh kabin bagi memastikan setiap barangan mempunyai tempatnya yang tersendiri, sekali gus meningkatkan kebolehgunaan harian.
Bagaimanapun, OMODA | JAECOO Malaysia tidak mendedahkan harganya namun ia dikatakan berkemungkinan besar akan dijual sekitar RM120,000.
Pengalaman Gaya Hidup Unik di Oh My Meow! Expo 2026

Sebagai jenama automotif pertama yang bekerjasama dengan pameran berfokuskan kucing di Malaysia, OMODA | JAECOO Malaysia membawa JAECOO J5 EV melangkaui bilik pameran tradisional untuk mendekati pengguna melalui pengalaman gaya hidup yang unik.
Orang ramai boleh mengunjungi ruang pameran OMODA | JAECOO bagi melihat JAECOO J5 EV dengan lebih dekat secara eksklusif sepanjang acara Oh My Meow! Expo 2026.
📅 Tarikh: 9 hingga 12 Julai 2026
📍 Tempat: Aras 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC), Mid Valley Megamall.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
