- Berita
- Kereta Baru
- McLaren Daniel Ricciardo 720S Edisi Terhad: Hanya 3 Unit Dikeluarkan!
McLaren Daniel Ricciardo 720S Edisi Terhad: Hanya 3 Unit Dikeluarkan!
McLaren F1 Team berjaya merangkul kemenangan pertama pada tahun 2012. Kemenangan ini berjaya digalas oleh pelumba, Daniel Ricciardo. Saat bersejarah ini diraikan McLaren dengan penghasilan versi terhad dan eksklusif model 720S yang hanyalah dikeluarkan untuk negara Australia.
Model kereta istimewa, Daniel Ricciardo Edition 720S yang dihasilkan dengan kerjasama pengedar McLaren di Melbourne dan Sydney ini hanyalah dikeluarkan sebanyak tiga unit sahaja.
Pengarah eksekutif komersial McLaren Automotive Ltd, George Biggs berkata, "Keazaman dan usaha untuk mencapai kecemerlangan tanpa henti Daniel Ricciardo adalah kualiti yang benar-benar mencerminkan etos McLaren. Ekoran prestasi cemerlang dicapai McLaren dalam Italian Grand Prix, ini merupakan masa yang sempurna untuk mendedahkan siri terhad (kereta ini) bagi meraikan pemandu Australia ini."
Dari segi luaran, setiap model dicatkan dengan warna sama yang digunakan pada kereta lumba McLaren Formula 1 2021 MCL35M iaitu warna Papaya dan biru Burton.
Ia turut memaparkan nombor lumba Honey Badger pada pintu dihedral, tandatangan Ricciardo pada ambang pintu yang dihasilkan daripada gentian karbon, plat 'One of Three' dan juga bendera Australia pada sudut depan.
Bergerak ke bahagian dalam, kemasan berwarna jingga digunakan pada tempat duduk dan juga papan pemuka. Terdapat beberapa bahagian yang diberikan elemen berwarna, manakala bahagian-bahagian lain pada kabin ini dikekalkan sama seperti McLaren 720S yang asal.
Enjin yang digunakan ialah enjin V8 turbo kembar 4.0L yang mampu menghamburkan kuasa 720 hp dan tork 770 Nm. Ini membenarkan kereta memecut daripada 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat.
Harga bagi McLaren Daniel Ricciardo 720S edisi terhad ini masih belum diumumkan. Namun, model asal 720S ditawarkan pada harga USD 300,000 (RM 1,248,450).
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv