- Berita
- Berita Auto
- Tayar Masa Hadapan, Caricarz Senarikan Enam Konsep Tayar Inovatif
Tayar Masa Hadapan, Caricarz Senarikan Enam Konsep Tayar Inovatif
Pembangunan teknologi yang digunakan di dalam kereta sentiasa berkembang tetapi jika menyentuh mengenai tayar, ia bagaimanapun kelihatan sama sahaja sepanjang tahun.
Namun nampaknya sekarang semuanya semakin berubah!
Manakan tidak, ketika pengeluar kereta dilihat terus mengeluarkan kereta konsep yang agak pelik sekali gus turut membuatkan pengeluar tayar juga menjejaki langkah mereka dengan membangunkan tayar masa hadapan.

Oleh itu, Caricarz menyenaraikan konsep tayar inovatif dan kesemua ini sebenarnya satu langkah ke hadapan daripada menawarkan tayar yang uzur dan ketinggalan zaman.
Tayar pertama yang anda perlu tahu ialah Tayar Eagle 360 yang dihasilkan oleh Goodyear. Ia merupakan tayar konsep berbentuk sfera yang hadir dengan cetakan 3D.
Apa yang menarik, tayar ini akan digunakan untuk kereta tanpa pemandu kerana ia direka untuk menjadi sebahagian daripada “sistem saraf kenderaan”.
Dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), ia menampilkan kulit bionik dengan rangkaian sensor yang membolehkan ia merasai keadaan pemanduan, mengumpul maklumat persekitaran, termasuk permukaan jalan.
Malah, tayar ini juga mempunyai kebolehan untuk menyimpan maklumat persekitrannya dalam masa sebenar melalui sambungan dengan kenderaan dan infrastruktur lain, serta trafik dan sistem pengurusan mobiliti.
![]()
Yang kedua ialah tayar Oxygene yang juga merupakan produk Goodyear!
Tayar konsep cetakan 3D ini pula agak aneh kerana ia menggunakan lumut. Ia bertujuan untuk menyerap titisan air dan lembapan dari jalan raya.
Ia kemudian menjalankan proses fotosintesis dan menghasilkan oksigen.
Oxygene dikatakan menjana elektrik dengan menukarkan karbon dioksida kepada oksigen yang kemudiannya juga menguasai ciri elektroniknya seperti unit pemprosesan AI dan sensor.

Yang seterusnya, tayar superlastik yang dihasilkan oleh NASA. Menerusi hasil kerjasama dengan Goodyear, tayar superelastik bukan pneumatik NASA diilhamkan oleh Tayar Apollo Lunar.
Biarpun pada mulanya, ia dibuat untuk misi masa depan ke Marikh, ia juga dilihat sebagai alternatif kepada tayar angin biasa.
Percaya atau tidak, tayar Superelastik ini bukan sahaja tahan ketegangan tinggi malah ia mampu mengubah bentuk secara melampau tanpa menyebabkan kerosakan kekal.
Tangga keempat dalam senarai ini ialah tayar Hexonic yang dihasilkan oleh Hankook. Inovasi ini ialah konsep tayar pintar untuk mobiliti berautonomi dan mementingkan keselesaaan penumpang.

Bunga tayarnya yang terdapat bentuk Y dikatakan menawarkan cengkaman tambahan.
Menurut syarikat itu, tayar Hexonic mempunyai tidak kurang daripada tujuh pengecan yang mana ia boleh membaca, menganalisis, bertindak balas terhadap jalan dalam masa sebenar selain, mengambil kira perkara-perkara lainseperti cengkaman, suhu dan permukaan jalan.
Yang kelima ialah tayar Aeroflow yang juga merupakan produk Hankook. Ia dibangunkan untuk sukan permotoran dan didatangkan sekali dengan rim khas yang mempunyai turbin angin di dalamnya.

Rekaannya dikatakan memfokuskan kepada daya tolakan ke bawah yang mana ia tidak diambil kira ketika pembangunan tayar sekali gus menjadikan ia agak unik.

Akhir sekali ialah tayar tanpa angin, Airless i-Flex yang juga antara keluaran Hankook. Tayar konsep ini dibangunkan dengan hasil kerjasama bersama Hyundai Motor Company. Ia direka untuk memaksimumkan modul Plug & Drive Hyundai.
I-Flex ialah konsep biomimetik dengan reka bentuk bukan pneumatik futuristik dan apa yang menarik ia tidak memerlukan pemantauan tekanan udara atau pengisian semula.
Maka,ini menjadikannya pilihan terbaik untuk kereta pandu sendiri.
Malah, jejari tayar yang bersambungan ini digunakan untuk menyerap hentakan jalan raya dan membolehkannya ia membawa muatan yang berat.
Jejarinya yang bercantum membentuk sel dalam 3D untuk penyerapan hentakan yang lebih baik.
Pendek kata, tayar konsep ini mungkin muncul sebagai fiksyen sains, tetapi dengan semua teknologi yang dilengkapi dengan kereta pada masa kini, fiksyen itu nampaknya bakal menjadi realiti.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/