- Berita
- Global
- BMW Ini Boleh Tukar Warna Sekelip Mata! Ini Semua Yang Anda Perlu Tahu Tentang Teknologi E Ink
BMW Ini Boleh Tukar Warna Sekelip Mata! Ini Semua Yang Anda Perlu Tahu Tentang Teknologi E Ink
Dalam sebuah pameran BMW yang diadakan di Las Vegas, sebuah kereta yang dinamakan iX Flow telah dipamerkan. Tetapi model ini bukanlah seperti kereta-kereta lain, jauh berbeza dan lebih istimewa. Ini kerana, cat yang digunakan pada badan kereta bukanlah cat biasa, tetapi ialah sejenis E Ink.

E Ink ini menggunakan lapisan filem elektroforesis yang mengandungi kapsul mikro berdiameter sehalus rambut manusia. Setiap kapsul mengandungi pigmen hitam yang bercas positif dan pigmen putih yang bercas negatif. Warna ini dapat dilihat dengan mata apabila diberikan stimulasi elektrik. Memang futuristik habis!
“Teknologi ini memberi pemandu kebebasan untuk merasai perubahan warna kereta setiap kali mereka duduk di dalam kereta,” kata Ketua Projek BMW ix Flow yang menampilkan E Ink, Stella Clarke.

Persoalannya, tak banyak guna tenaga bateri ke untuk tukar warna kereta ni?
Apa yang menariknya tentang teknologi yang digunakan, ia sebenarnya efisien dari segi penggunaan tenaga, kerana tenaga hanya diperlukan semasa proses pertukaran warna, dan tidak memerlukan sebarang tenaga untuk mengekalkan warna.

Warna apa yang ada?
Buat masa ini, teknologi E Ink hanya membolehkan kereta bertukar antara warna putih, hitam dan kelabu serta tona berbeza untuk warna-warna tersebut.

Kenapa teknologi warna baharu ini penting?
Selain dapat memuaskan keinginan pemandu yang inginkan gaya berbeza mengikut angin, kebolehan kereta untuk menukar warna dengan mudah juga sebenarnya penting untuk keselesaan penumpang dan juga dapat menjaga tenaga bateri kereta.
Dalam cuaca panas, kereta boleh ditukarkan kepada warna putih untuk mengurangkan kadar penyerapan haba. Ini secara tidak langsung akan menyejukkan kereta dan mengurangkan penggunaan tenaga pendingin hawa.
Sementara itu, dalam cuaca sejuk pula, warna kereta boleh ditukarkan kepada hitam supaya lebih banyak haba boleh diserap untuk memanaskan ruang dalam kabin. Hasilnya, penggunaan tenaga untuk sistem pemanasan turut dapat dikurangkan.
Apabila sistem kawalan iklim tidak terlalu kerap digunakan, ia sebenarnya dapat meningkatkan lagi jangka hayat atau kekuatan bateri kereta. Ini memberikan impak yang positif kepada jarak perjalanan yang boleh ditempuhi kereta yang kini boleh pergi lebih jauh daripada yang dijangkakan walau dalam suhu ekstem.
Adakah teknologi E Ink akan digunakan pada keluaran kereta akan datang?
BMW walau bagaimanapun tidak memberi penjelasan tentang kemungkinan ini akan berlaku, namun berdasarkan pengiraan kos yang diperlukan untuk menghasilkan teknologi ini, ia tidaklah terlalu mahal. Oleh itu, tidak mustahil untuk kita lihat teknologi E Ink ini digunakan pada kereta keluaran besar-besaran.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv