- Berita
- Kereta Baru
- EV Mazda MX-30 2022 Dilancarkan Di Malaysia! Harga Dari RM198K
EV Mazda MX-30 2022 Dilancarkan Di Malaysia! Harga Dari RM198K
Bermaz Motor Trading Sdn Bhd hari ini telah melancarkan kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama syarikat, Mazda MX-30 2022 dengan harga bermula daripada RM 198,780.00, termasuk SST, di atas jalan, tanpa insurans. Mazda MX-30 ialah model generasi ketiga Mazda selepas Mazda3 dan Mazda CX-30. Dua varian ditawarkan iaitu EV Mid dan EV High dengan beberapa perbezaan spesifikasi.
KUASA MAZDA MX-30
Mazda MX-30 yang dibangunkan menggunakan platform SKYACTIV-Vehicle Architecture ini dikuasakan oleh motor elektrik dengan pek bateri litium ion 35.5 kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 199 km (WLTP) sekali cas. Kuasa disalurkan kepada roda hadapan dengan transmisi satu kelajuan. Kereta boleh mencapai output 107 kW (143 hp) dan tork 271 Nm. Dari segi prestasi, boleh melakukan pecutan daripada 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat dan mencapai kuasa maksimum 140 km/j.
Bateri kereta boleh dicas sama ada di rumah atau semasa dalam perjalanan menggunakan pengecas AC atau DC. Dengan pengecas DC 40 kW, bateri tersebut boleh dicas sehingga 80% dalam masa 36 minit, manakala dengan AC 3 kW, mengambil masa 12 jam, dan 6.6 kW, 5 jam untuk mencapai kapasiti 100 peratus.
BAHAGIAN LUAR MAZDA MX-30
Dari segi rekaan, pasukan pereka Mazda MX-30 cuba mengekalkan keindahan reka bentuk yang pernah diberikan pada model-model sebelum ini yang berkonsepkan Kodo Design, tetapi dalam masa yang sama, masih memberikan sentuhan baharu yang lebih segar untuk MX-30. Rekaan luarannya tampil ringkas dan elegan. Antara ciri luaran kereta ialah penggunaan lampu depan dan belakang jenis LED, gril radiator berwarna hitam dan roda aloi bersaiz 18 inci.
BAHAGIAN DALAM MAZDA MX-30
Sentuhan elegan masih dikekalkan di ruang kabin kereta. Pada bahagian konsol tengah terdapat shifter elektronik dengan tombol kawalan pelbagai fungsi yang memudahkan pemandu dan penumpang mengawal sistem infotainmen Mazda Connect 8.8 inci (dengan ciri pengecaman suara) yang boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Mazda MX-30 menggunakan sistem audio 12 speaker Bose (EV High) yang mengaplikasikan teknologi Mazda Harmonic Acoustics.
Kemudahan lain yang disediakan ialah pemantau pandangan 360 darjah (EV High), outlet kuasa 12V, stereng dengan butang kawalan audio dan bluetooth, paparan-di-kepala (HUD), paddle shifter dan penyejuk udara dua zon. Varian tertinggi turut dilengkapkan dengan bumbung suria automatik.
CIRI KESELAMATAN MAZDA MX-30
Didatangkan secara standard untuk kedua-dua varian Mazda MX-30 ialah Teknologi Keselamatan Canggih i-Activesense Mazda dengan sistem seperti:
-Pemantau Titik Buta (BSM)
-Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA
-Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS)
-Amaran Perhatian Pemandu (DAA) dengan Pemantau Pemandu
-Sistem Bantuan Kekal Lorong (LAS)
Varian EV High ditambah dengan ciri keselamatan seperti:
-Lampu Depan LED Adaptif (ALH)
-Amaran Trafik Lintasan Depan (FCTA)
-Sokongan Jelajah dan Trafik (CTS)
BERMINAT UNTUK MEMILIKI MAZDA MX-30?
Mazda MX-30 ditawarkan dalam warna Polymetal Gray dan Machine Gray untuk versi satu warna. Manakala warna-warna yang ditawarkan untuk versi dua warna pula ialah Jet Black Mica (dengan tiang bumbung perak), Zircon Sand (dengan bumbung hitam) dan Soul Red (dengan bumbung hitam).
Unit yang diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU) ini ditawarkan pada harga bermula daripada RM 198,780.00. Tempahan kini sudah dibuka dan pelanggan yang berminat boleh ke bilik pameran Mazda Glenmarie Flagship. Harga adalah termasuk jaminan pengeluar selama 5 tahun (atau 100,000 km yang pertama), mana tiba dahulu. Bateri Mazda MX-30 juga hadir dengan jaminan selama 8 tahun atau 160,000 km, mana tiba dahulu.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv