- Berita
- Berita Auto
- Audi Kitar Semula Kereta Telah 'Mati' Untuk Hasilkan Kenderaan Baharu
Audi Kitar Semula Kereta Telah 'Mati' Untuk Hasilkan Kenderaan Baharu
MaterialLoop bersama Audi dan 15 rakan kongsi lain dalam sektor kajian, kitar semula dan pembekal berkolaborasi untuk memberi nafas baharu kepada kenderaan yang telah tamat hayat.
Projek kitar semula ini dilihat sebagai sebahagian dariapda strategi ekonomi sirkular, menggunakan buangan daripada sektor automotif dalam penghasilan kenderaan baharu.
Setakat ini, tidak begitu banyak bahan yang digunakan untuk menghasilkan kenderaan baharu diambil daripada kereta yang telah tamat hayat.
Dalam usaha untuk melakukan proses kitar semula ini, kitar bawah atau downcycling iaitu kehilangan kualiti bahan selepas proses kitar semula cuba dielakkan.
“Projek MaterialLoop menekankan visi bercita-cita tinggi kami untuk mengendalikan kenderaan akhir hayat berdasarkan konsep ekonomi sirkular yang sangat cekap," kata Ketua Pegawai Operasi Audi, Markus Duesmann.
"Matlamat kami adalah untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin bahan pada kualiti yang tinggi untuk digunakan semula dalam pengeluaran. Ini akan menjimatkan bahan utama yang berharga dan mengurangkan jejak ekologi produk. Pada masa yang sama, akses terus kepada bahan sekunder dapat menyumbang kepada peningkatan keselamatan bekalan. Bahan mentah tidak lagi perlu diekstrak,” tambahnya.
Pada bulan Oktober 2022, sebanyak 100 kenderaan termasuk kereta yang pernah digunakan dalam pembangunan sebelum ini telah diceraikan komponennya untuk projek MaterialLoop. Kualiti bahan sekunder yang berkualiti berjaya dikumpulkan melalui proses ini.
Selepas proses penceraian komponen selesai, badan kenderaan yang tinggal akan dihancurkan dan diasingkan mengikut kumpulan bahan berbeza yang terdiri daripada keluli, aluminium, plastik dan kaca, dengan kerjasama syarikat rakan kongsi.
Untuk menguji penggunaan semula bahan ini dalam penghasilan kenderaan baharu, Audi menjalankan projek rintis bersama-sama rakan kongsi dalam industri kitar semula, pembekal dan ahli akademik. Projek rintis ini akan dijalankan sehingga penghujung April nanti.
Walaupun masih ada lagi projek rintis yang sedang berlangsung, Audi telah pun memulakan proses kitar semula berdasarkan beberapa dapatan kajian MaterialLoop terdahulu misalnya yang membabitkan bahan keluli dalam penghasilan kenderaan baharu.
Dalam percubaan awal, sejumlah enam gegelung keluli yang terdiri daripada kira-kira 12% bahan MaterialLoop sekunder telah dihasilkan dan memenuhi piawaian kualiti tinggi Audi sehingga boleh digunakan untuk pemasangan kenderaan baharu. Audi merancang untuk menggunakan gegelung ini dalam penghasilan 15,000 pintu kereta Audi A4 di kilang yang bertempat di Ingolstadt. Peratusan keluli yang dikitar semula dalam bentuk gegelung itu dijangka dapat ditambah lagi selepas selesai kajian yang kini sedang dilakukan.
Audi juga sudah mula menguasai proses pengitaran semula kaca automotif sejak musim bunga 2022 lagi. Dalam projek rintis lain yang dijalankan, tingkap pintu yang tidak lagi boleh digunakan boleh dipecahkan kepada kecilan kecil sebelum diasingkan.
Kaca halus ini dicairkan untuk diguna semula sebagai plat kaca bagi kegunaan industri automotif sepertimana yang dilakukan dalam pengeluaran Q4 e-tron.
Sementara itu, dalam pengurusan bahan kitar semula aluminium pula, proses ini dilakukan di beberapa buah kilang iaitu Ingolstadt, Neckarsulm dan Gyor di bawah syarikat Audi serta Bratislava, di bawah syarikat Volkswagen sejak tahun 2017 lagi. Aluminium yang telah dipotong dipulangkan semula kepada pembekal untuk diproses menjadi kepingan aluminium dengan kualiti yang sama untuk kegunaan Audi.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv