- Berita
- Kereta Baru
- BMW X7 XDrive Pure Excellence, Mewah, Sarat Dengan Teknologi Canggih, Maka Harga Pun Boleh Tahan
BMW X7 XDrive Pure Excellence, Mewah, Sarat Dengan Teknologi Canggih, Maka Harga Pun Boleh Tahan

BMW Malaysia melancarkan Sports Activity Vehicle (SAV) terbesar mereka, BMW X7 xDrive40i Pure Excellence baru-baru ini.
Ia yang terkenal dengan jolokan "The President" kini tampil dengan keupayaan digitalisasi dan unsur rekaan yang cukup hebat.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, pihaknya amat menitiberatkan aspek kemewahan,
“Jadi, mengikut peredaran masa, kami memperhalusi erti kemewahan yang mendefinisikan portfolio kenderaan yang tercanggih.
“Untuk itu, BMW X7 membuktikan kenyataan ini sekali gus menonjolkan kemewahan selain membekalkan prestasi, estetika dan juga keupayaan pemanduan yang mengagumkan,” katanya dalam satu kenyataan.


Untuk makluman anda, jentera ini sudah dinaiktaraf dengan enjin petrol bersama sistem mild-hibrid 48V.
Ia disumbat dengan enjin B58 3.0 liter 6 silinder turbo dan dipadankan dengan tranmisi Steptronic Sport lapan kelajuan bersama pacuan semua roda xDrive.
Selain itu, ia menampilkan sistem mild-hibrid 48V dan kini ia didatakan dengan motor elektrik dimana ia mampu menghasilkan 12 hp dan 200 Nm.
Apa yang cukup menarik ialah gabungan enjin bersama sistem mild-hibrid itu pula mampu menghamburkan kuasa setinggi 375 hp dan 540 Nm.

Berdasarkan atas kertas, ia mampu memecut dari 0 ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 5.8 saat manakala kelajuan tertinggi pula setakat 250 kmj.

Luaran:
Menjengah bahagian luarannya, ia dipadankan dengan set lampu hadapan LED di mana jalur lampu di atas menempatkan lampu DRL LED serta lampu isyarat membelok dan unit lampu utama pada bahagian bawah.
Ia juga digandingkan dengan rekaan gril “kidney” bersaiz besar bersama elemen krom.
Dari sisi pula, terdapat siluet BMW X7 yang terbaharu yang disambungkan dengan rel bumbung dan apa yang pasti ia dipadankan dengan set roda aloi ringan yang cukup menawan.


Di belakang pula, lampu belakang didatangkan dengan lampu tiga dimensi sekali gus membawakan tata atur grafik internal yang serba baharu dan terdapat k posisi baharu bagi lampu mengundur.
Satu lagi ciri yang baharu ialah jalur krom berlitup kaca yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang dimana ia menambah efek kelebaran SAV mewah ini.
Kabin:
Menyentuh mengenai bahagian dalamannya, ia menampilkan skrin melengkung BMW Curved Display bersama skrin paparan info 12.3 inci.

Terdapat juga skrin tengah bersaiz 14.9 inci yang bertujuan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang selesa.
Bahagian dalamannya dilihat cukup mewah kerana ia dihiasi dengan trim kayu halus “Lindenwood Fineline” manakala, sterengnya pula sport berkulit dan Material Bumbung M “Alcantara” antrasit.
Jalur cahaya ambien di bawah kemasan trim interior menjadi satu lagi tarikan visual dalam BMW X7 baharu.
Ia mempunyai pencahayaan latar dan menambah efek dimensi dengan ciri hablur dan struktur prismatiknya.
Tidak ketinggalan, BMW X7 terbaharu ini juga membawakan BMW Live Cockpit Plus dengan Paparan Informasi dan Paparan Kawalan sentuh yang boleh disuai. Semestinya, BMW X7 baharu juga lengkap dengan Sistem Operasi BMW 8 yang terkini.
Mengenai tempat duduknya, ia didatangkan dengan konfigurasi enam tempat duduk, dimana barisan keduanya dilengkapi dengan dua tempat duduk pilot yang dibalut upholsteri Sensafin.

Malah, bumbung kaca panoramik bersaiz besar menjadikan ruang interior kenderaan ini tampak lebih cerah dan luas.

Dari segi kapasiti muatan pula, BMW X7 baharu menawarkan ruang but berkeluasan sehingga 750 liter dengan tempat duduk baris ketiganya dilipat.
Ciri-ciri keselamatan
Dari segi pemanduan, BMW X7 xDrive40i Pure Excellence didatangkan standard dengan Parking Assistant Professional, Driving Assistant dan Reversing Assistant Professional yang merekodkan perjalanan terakhir sejauh 200 meter.
Dari segi keselamatan pula, ia dilengkapi dengan bantuan keselamatan Amaran Keluar Lorong (dengan intervensi stereng aktif), Amaran Penukaran Lorong dan Amaran Pelanggaran Hadapan (dengan intervensi brek).
Ia turut hadir dengan Amaran Lintaran Trafik Belakang, Amaran Pelanggaran Belakang, Informasi Had Kelajuan dan Bantuan Had Kelajuan (manual).
Jentera ini didatangkan dengan warna Sparkling Copper Grey Metallic, Blue Ridge Mountain Metallic, Skyscraper Grey Metallic, Mineral White Metallic, dan Black Sapphire Metallic.


Bagi bahagian dalam, upholsteri Sensafin itu ditawarkan dengan tona warna Sensafin Black dan Sensafin Cognac.
Harga bagi BMW X7 xDrive40i Pure Excellence bermula dari RM654,800 atas jalan tanpa insurans.
Ia lengkap bersama penawaran BMW Group Malaysia Premium Ownership yang merangkumi, jaminan tanpa had perbatuan lima tahun dengan program servis berjadual percuma, bantuan tepi jalan dan talian Hotline Kemalangan BMW, BMW Group Loyalty+ Mobile App dan BMW Service Online.


Sehubungan itu, para pelanggan boleh menghubungi wakil pengedar BMW pilihan atau melayari shop.bmw.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BMW X7 xDrive40i Pure Excellence baharu.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

