- Berita
- EV
- Jualan EV Jatuh Mendadak, Pengguna Mengharapkan Subsidi
![]()
Pasaran kenderaan elektrik (EV) global mengalami kemorosotan yang ketara dengan hanya 672,000 unit kenderaan terjual pada Januari tahun ini, mewakili separuh daripada prestasi jualan pada bulan Disember 2022 dan hanya 3% peningkatan tahun ke tahun berbanding Januari 2022.
Rystad Energy, syarikat penyelidikan yang beribu pejabat di Oslo, Norway, mendedahkan dalam satu kenyataan pada Rabu, 1 Mac, bahawa pegangan pasaran EV untuk kesemua kereta penumpang menurun kepada 14% pada Januari, penurunan yang ketara berbanding 23% pada bulan Disember.
Selain prestasi jualan yang terjejas semasa pandemik Covid-19 dan isu rantaian bekalan sebelum ini, jualan EV menunjukkan trajektori menaik yang konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun, kemorosotan yang berlaku baru-baru ini adalah berita yang agak membimbangkan industri.
Menurut Rystad, kredit cukai dan subsidi kerajaan telah memperkukuhkan pasaran EV setakat ini, namun sebaik ia dihapuskan atau dikurangkan, pembelian EV dilihat semakin berkurang.

Berdasarkan laporan tersebut, pengeluar kenderaan kini sedang berusaha untuk memulihkan pasaran. Jelas Rystad, pasaran automotif umpama satu kitaran, yang mana prestasi jualan kebiasaannya akan menurun selepas pelaksanaan subsidi baharu pada setiap awal tahun sebelum beransur pulih. Bagaimanapun, kejatuhan jualan pada bulan Januari tahun ini lebih tinggi berbanding biasa.
"Kesan daripada [kemorosotan] ini akan berpanjangan dan akan turut memberi kesan kepada jualan pada suku pertama tahun ini dan berkemungkinan juga sepanjang tahun 2023.

“Subsidi EV dipotong di banyak negara Eropah serta China pada awal tahun ini,” katanya.
Namun berbeza dengan pasaran Amerika Syarikat yang baru sahaja memulakan ‘perjalanan’ elektrifikasinya dengan menawarkan kredit cukai di bawah Akta Pengurangan Inflasi.
Amerika Syarikat merupakan satu-satunya pasaran besar yang menunjukkan peningkatan jualan dan pegangan pasaran EV tahun ke tahun, walaupun sumbangannya kepada prestasi jualan global masih rendah.
Menurut Penganalisis Teknologi Bersih di Rystad Energy, Abhishek Murali, “Minat pengguna terhadap EV kekal kukuh, namun jelas bahawa kredit cukai dan subsidi masih memainkan peranan penting untuk meyakinkan pengguna supaya beralih [kepada EV]. Pengeluar kenderaan tiada pilihan lain tetapi terpaksa merendahkan harga.”
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv