- Berita
- EV
- Cas DC RM2.80/kWj Terlalu 'Kayangan'? Shell Akui Sedang Semak Harga Supaya Lebih Marhaen
Cas DC RM2.80/kWj Terlalu 'Kayangan'? Shell Akui Sedang Semak Harga Supaya Lebih Marhaen

Shell Malaysia menegaskan komitmennya untuk meningkatkan pelaburan dan memperbanyak inovasi dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) tempatan, selari dengan peningkatan penggunaan EV yang semakin ketara.
Sempena ulang tahun ke-135 Shell Malaysia, Seow Lee Ming selaku Pengurus Besar Shell Mobility & Convenience Malaysia mendedahkan pelan strategik lima tahun syarikat yang memfokuskan kepada pembangunan nilai dan sokongan peralihan tenaga nasional. Menurut beliau, strategi ini sangat penting memandangkan Malaysia kini memegang status sebagai pasaran automotif utama di Asia Tenggara.
Mengapa Shell Fokus Kepada Usaha Peralihan Tenaga?
Menurut Seow, Shell melihat pertumbuhan bukan sekadar melalui promosi atau ganjaran semata-mata. Sebaliknya, syarikat mahu memberikan nilai lebih tinggi dan inovasi yang relevan dengan evolusi keperluan mobiliti pelanggan.
Shell memposisikan diri mereka sebagai syarikat tenaga yang menyokong semua jenis pengguna, sama ada mereka yang masih setia dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) atau yang sudah beralih kepada EV. Jelas beliau, kedua-dua teknologi ini akan terus wujud bersama untuk satu tempoh masa yang agak lama sebelum peralihan penuh berlaku.
Adakah Harga Cas Shell Recharge Akan Turun?
Isu harga sering menjadi bualan hangat pemilik EV. Ketika ini, Shell Recharge diakui sebagai antara pengendali titik cas (CPO) paling premium di Semenanjung Malaysia dengan kadar sehingga RM2.80 per kWj untuk pengecasan pantas DC dan RM1.30 per kWj bagi AC.
Sebagai perbandingan, pesaing lain secara purata menawarkan kadar antara RM1 hingga RM1.50 per kWj bagi DC. Menjawab keresahan ini, Seow memaklumkan bahawa Shell kini sedang giat menyemak semula struktur harga mereka. Syarikat juga sedang menerokai model harga dinamik yang lebih mencerminkan corak penggunaan dan permintaan pasaran semasa agar lebih kompetitif.
Bagaimanakah Strategi Peluasan Rangkaian Pengecasan Shell?
Peralihan daripada ICE kepada EV di Malaysia tidak akan berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya ia dilaksanakan secara berfasa. Shell merancang untuk mengembangkan jejak pengecasan mereka selari dengan trend pertumbuhan pasaran dan kematangan infrastruktur negara.
Buat masa ini, Shell mengendalikan kira-kira 160 titik cas EV di seluruh negara. Fokus utama tahun ini adalah untuk menambah lebih banyak lokasi, terutamanya di sepanjang lebuh raya utama bagi memudahkan perjalanan antara bandar.
Salah satu kelebihan utama yang ditawarkan adalah integrasi rentas sempadan. Melalui aplikasi mudah alih Shell Recharge, pengguna mempunyai akses mudah ke titik pengecasan di Malaysia dan Singapura hanya melalui satu platform tunggal.
Langkah ini dilihat sebagai strategi serampang dua mata Shell untuk mengukuhkan penguasaan pasaran di rantau ini sambil memastikan pengalaman pengguna yang lebih lancar.
Juga Menarik: Shell FuelSave Diesel Dipertingkat – Tambah Jarak Hingga 19 KM, Enjin Lebih Bersih!
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv



