- Berita
- Global
- Mitsubishi Triton Gen-6 Nak Masuk M'sia
Selepas berbulan-bulan bikin panas di media sosial dengan menayangkan imej teaser, akhirnya Mitsubishi Triton (2023) membuat penampilan sulungnya di Bangkok, Thailand sebentar tadi.
Selain jiran kita, Triton generasi keenam ini juga akan membuat penampilan sulungnya di beberapa pasaran serantau, termasuk ASEAN, Oceania, serta di tanah airnya sendiri di Jepun.
Berdasarkan Konsep XRT, Triton baharu mempunyai konsep reka bentuk 'Beast Mode', dimana ia menampilkan rekaan agresif dan berbentuk kotak.
Menjengah bahagian luarannya, ia menampilkan wajah yang berkonsepkan Dynamic Shield dimana ia mengetengahkan imej prestasi yang lebih bertenaga.
Malah, ia turut membawakan gril hadapan segi empat tepat diapit oleh tiga lampu depan LED berbentuk L, dengan bar lampu nyalaan siang hari yang berbentuk nipis.
Dari sisi pula, Triton baharu ini menampilkan fender yang digabungkan dengan siluet berbentuk segi empat tepat manakala pemijak sisinya kelihatan agak lebar.
Di belakang pula, trak pikap ini didatangkan dengan lampu belakang LED berbentuk L dan terdapat spoiler belakang dimana Mitsubishi mendakwa ia membantu untuk meningkatkan aerodinamiknya.
Bagi pilihan warna, ia didatangkan dalam dua pilihan warna baharu Yamabuki Orange Metallic dan Blade Silver Metallic manakala warna yang sedia ada ialah Graphite Grey Metallic, White Diamond dan banyak lagi.
Untuk pasaran Thailand, Triton ini ditawarkan dalam tiga jenis tempat duduk:
• Double cab- lima tempat duduk
• Single cab - satu barisan tempat duduk
• Club cab - satu barisan tempat duduk dimana kerusinya boleh direbahkan dan terdapat ruang kargo di belakang tempat duduk
Dari segi dimensi pula, Triton generasi ketiga ini agak besar berbanding model sebelum ini.
Bagi double cab 4WD, ia sepanjang 5,360mm, lebar 1,930 mm dan setinggi 1,815 mm manakala jarak roda, 3,130 mm membuatkan ia adalah salah satu model terbesar dalam segmennya.
Sebagai perbandingan, Toyota Hilux terbaharu cuma sepanjang 5,325 mm dan jarak rodanya pula, 3,085 mm.
Dari segi mekanikal pula, kami sebelum ini ada melaporkan bahawa model Triton baharu menyokong Ladder frame baharu dimana ia memiliki tambahan keluasan cross-sectional sebanyak 65 peratus berbanding model terdahulu.
Ia turut menggunakan suspensi double wishbone baharu di bahagian hadapan manakala suspensi belakang menawarkan menggunakan sistem leaf spring yang lebih ringan bersama penyerap hentak yang lebih tebal.
Beralih kepada kuasa, ia dijana oleh enjin diesel baharu 2.4 liter 4-silinder DOHC 16-injap Intercooled Turbocharged (4N16) dengan sistem suntikan bahan api lebih bersih.
Bagi hamburan kuasa pula, varian rendah boleh menghasilkan kuasa 148hp dan tork 330Nm, manakala versi tengah pula, menjana kuasa 181 hp dan tork 430Nm.
Sementara itu, varian tertinggi pula mampu menghasilkan kuasa setakat 201 hp dan tork 470 Nm sekali gus menjadikan Triton paling berkuasa berbanding model sebelum ini.
Difahamkan, semua semua varian dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan (dengan mod Sport) dan transmisi manual enam kelajuan dengan teknologi shift-by-wire.
Bahagian kabinnya pula, ia menawarkan instrumen panel direka mengikut konsep Horizontal Axis, sistem infotainmen kini menyokong aplikasi Mitsubishi Connect manakala panel instrumen serta konsol tengah juga disertakan dengan soket USB A/C dan pengecas tanpa wayar.
Bukan itu sahaja, empat duduk hadapannya juga hadir dengan fungsi sokongan kepada tulang belakang selain terdapat rekaan di kawasan bahu dan bukaan pintunya juga agak luas.
Membelek imej di internet, reka bentuknya dilihat banyak menggunakan bentuk geometri dengan elemen metalik.
Ia sebenarnya bertujuan untuk menunjukkan jentera ini lebih moden.
Di sebalik penampilan globalnya, Mitsubishi Triton generasi ketiga akan memasuki Malaysia namun Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Berdasarkan ketibaannya di Thailand, kami menganggarkan Triton baharu akan dilancarkan di Malaysia dalam masa kira-kira setahun, kemungkinan besar pada suku ketiga atau keempat pada tahun 2024.
Apa pula pandangan anda mengenai Triton baharu ini? Kongsikan.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari