- Berita
- Kereta Baru
- 2 Varian Baharu BMW i4 eDrive35 Dilancarkan – Dari RM258K
2 Varian Baharu BMW i4 eDrive35 Dilancarkan – Dari RM258K
BMW Group Malaysia memperkenalkan dua varian baharu, BMW i4 eDrive35 (kiri) dan i4 eDrive35 M Sport (kanan) dalam barisan kenderaan elektrik (EV) tempatan
BMW Group Malaysia hari ini melancarkan dua varian baharu dalam barisan kenderaan elektrik (EV) tempatan dengan mengumumkan penambahan dua varian terkini bagi fastback BMW i4, menempatkan dua varian i4 eDrive35 di bawah varian i4 M50 dan i4 eDrive40 M Sport yang merupakan model andalan (flagship).
"Pelancaran BMW i4 eDrive35 dan BMW i4 eDrive35 M Sport adalah bukti usaha kami untuk mencapai mobiliti elektrik berprestasi tinggi di negara ini," kata Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kedua-dua varian ini menggunakan satu motor elektrik di bahagian belakang yang memberi kuasa kepada roda belakang (RWD)
Kedua-dua varian ini menggunakan satu motor elektrik di bahagian belakang yang memberi kuasa kepada roda belakang (RWD) dengan tenaga sebanyak 286 hp (210 kW) dan tork sebanyak 400 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa hanya 6 saat. Enjin ini mendapat tenaga dari bateri berkapasiti 70.2 kWh (66 kWh boleh digunakan) yang boleh dicas menggunakan pengecas 11 kW AC dan 180 kW DC, menawarkan jarak maksimum WLTP sehingga 490 km.
Angka ini jelas berbeza dengan varian lebih tinggi, i4 eDrive40 M Sport. Varian tersebut menggunakan bateri berkapasiti lebih besar iaitu 83.9 kWh (81.1 kWh), dengan output lebih tinggi iaitu 340 hp (250 kW) dan tork sebanyak 430 Nm, pecutan 0-100 km/j yang lebih pantas iaitu 5.7 saat, input pengecas DC yang lebih tinggi iaitu 205 kW, dan jarak WLTP yang lebih jauh iaitu 590 km.
Kedua-dua varian menggunakan modul skrin melengkung terkini dari BMW
Untuk varian baharu i4 eDrive35, kedua-duanya dilengkapi modul skrin melengkung terkini dari BMW. Varian asas eDrive35 dilengkapi dengan stereng sporty dalam balutan kulit, kemasan kayu, serta pilihan warna upholsteri Sensatec. Versi M Sport menerima kemasan dalaman Aluminum Rhombicle Anthracite M yang lebih bergaya.
Hanya varian M Sport sahaja yang menawarkan pilihan warna tambahan eksklusif, M Brooklyn Grey (kiri) dan M Portimao Blue (kanan)
Di bahagian luar, varian asas i4 eDrive35 dapat dibezakan melalui penggunaan kemasan BMW Aluminium Satin. Kedua-dua varian menggunakan rim aloi dua warna, tetapi varian M Sport mendapat rim aero dinamik 858 Bicolour M yang lebih menarik. Varian yang lebih sporty ini juga ditawarkan dalam dua pilihan cat eksklusif, iaitu M Portimao Blue dan M Brooklyn Grey.
Mengenai harga, BMW i4 eDrive35 dan i4 eDrive35 M Sport baharu masing-masing dijual pada harga RM255,216 dan RM281,216. Harga tersebut tidak termasuk insurans dan jika dipertimbangkan harga keseluruhan yang termasuk insurans masing-masing ialah RM258,210 dan RM284,210.
Harga tersebut juga termasuk waranti selama 5 tahun tanpa had perjalanan dan pakej penyelenggaraan berjadual percuma, waranti bateri selama 8 tahun atau 160,000 km, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan BMW, Perkhidmatan BMW Online, Aplikasi Mudah Alih BMW Group Loyalty+, dan Kad Keistimewaan BMW.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv