- Berita
- Kereta Baru
- Lexus RX 500h F Sport 2023 Kini Di Malaysia – Dari RM498K
Lexus RX generasi kelima kini hadir dengan varian tertinggi baharu untuk pasaran Malaysia, RX 500h F Sport. Dibuka untuk tempahan di semua cawangan Lexus di seluruh negara bermula hari ini (18 Ogos), varian RX versi hibrid ini dijual pada harga RM498,888.
CIRI MEKANIKAL LEXUS RX 500H F SPORT 2023
RX 500h F Sport dikuasakan oleh enjin petrol 2.4 liter turbo 4 silinder bersama motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan 270 hp dan 460 Nm (lebih 30 Nm berbanding varian lebih rendah, versi bukan hibrid, RX 350).
RX 500h dikuasakan oleh enjin petrol turbo 2.4 liter 4 silinder yang digabungkan dengan motor elektrik tunggal. Kuasa disalurkan kepada roda melalui transmisi automatik 6 kelajuan
Kuasa disalurkan kepada keempat-empat roda melalui pakej pacuan semua roda (AWD) DIRECT4 dan transmisi automatik 6 kelajuan. Sistem elektrifikasi yang diketengahkan untuk varian ini juga memperlihatkan penggunaan eAxle (gandar elektronik) di bahagian belakang yang terintegrasi dengan motor elektrik, inverter dan kotak gear reduksi.
Di samping itu, susunan suspensi yang baharu dan modul Dynamic Rear Steering (DRS) menawarkan dinamik pemanduan yang lebih baik dan sporty. Teknologi DRS yang digunakan memberi roda belakang sudut pengendalian sehingga 4° ke mana-mana arah bergantung pada kelajuan. Ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan stereng semasa pemanduan laju dan perlahan.
REKA BENTUK LEXUS RX 500H F SPORT 2023
Ciri F Sport dapat dilihat di bahagian luar melalui penambahan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, serta pelbagai lagi elemen lain dalam aksen dan kemasan hitam
Secara visual, RX 500h F Sport tampil berbeza berbanding varian RX 350, kerana diberikan sentuhan sporty khas, F Sport. Perbezaan ketara dapat dilihat dari reka bentuk bampar hadapan dan belakang, aksen dan kemasan hitam, serta rim aloi bersaiz 21 inci yang berwarna hitam matte.
Secara keseluruhannya, varian ini masih mengekalkan bentuk banda yang hampir sama dengan varian RX 350. Misalnya ciri eksklusif yang jenama Lexus seperti lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk L, lampu hadapan projektor LED, lampu belakang melintang yang berkelebaran penuh, serta gril spindle Lexus yang mendominasi sudut hadapan.
Salah satu ciri yang hanya terdapat pada RX 500h F Sport ialah penggunaan rim aloi bersaiz 21 inci yang berwarna hitam matte
KABIN LEXUS RX 500H F SPORT 2023
Bergerak masuk ke dalam kabin, varian ini masih menggunakan konsep rekaan dalaman yang sama seperti varian lebih rendah, namun diberikan ciri premium tambahan seperti penggunaan balutan kulit Ultrasuede pada tempat duduk, papan pemuka dan kemasan pintu. Turut ditambah ialah penggunaan kemasan aluminium Dark Spin.
Tidak jauh berbeza dengan RX 350, tetapi tempat duduk, papan pemuka dan kemasan pada pintu kini diberikan balutan kulit Ultrasuede
Salah satu teknologi baharu yang digunakan ialah sistem audio Mark Levinson dengan 21 speaker
Hadir dengan pelbagai ciri canggih, kabin RX 500h dilengkapi dengan sistem audio Mark Levinson 21 speaker, paparan instrumen digital sepenuhnya, sistem infotainmen skrin sentuh yang sama seperti RX 350 yang menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, bukaan pintu dan penghidup enjin tanpa kunci, serta kawalan pendingin hawa automatikm dengan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang.
CIRI KESELAMATAN LEXUS RX 500H F SPORT 2023
Lexus RX500h F Sport dilengkapi dengan ciri bantuan pemandu aktif terkini (ADAS) melalui pakej Lexus Safety Sense+ (LSS+). Model ini dipasangkan dengan 12 sensor ultrasonik serta empat kamera, memberikannya keupayaan pemanduan separa-autonomi tahap 2.
HARGA LEXUS RX 500H F SPORT 2023
RX 500h F Sport ditawarkan dalam empat pilihan warna
Model yang ditawarkan dalam empat pilihan warna ini dijual pada harga RM 498,888. Pembelian adalah termasuk jaminan standard selama lima tahun tanpa had perjalanan serta jaminan khas bagi bateri hibrid yang digunakan varian RX 500h F Sport selama lapan tahun, tanpa had perjalanan, tempoh jaminan ini boleh dilanjutkan lagi selama dua tahun.
Untuk melihat model ini secara lebih terperinci, lihat foto yang kami kongsikan di ruangan galeri di bawah.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv