- Berita
- EV
- Pengecas EV Di Sabah, Dibuka Untuk Orang Awam

Pengedar rasmi tunggal jenama BMW di Sabah sejak tahun 2018, Regas Premium Sabah mengorak setapak ke hadapan apabila memperkenalkan perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) untuk orang awam buat julung kalinya di Sabah, baru-baru ini.
Bagi yang mahu menggunakan fasiliti ini, ia terletak di ruang parkir bawah tanah T1 @ Bundusan, Jalan Bundusan, Taman Cemerlang, Kota Kinabalu, Sabah.

Sebaliknya, ia yang cuma menampilkan dua lot dengan keupayaan pengecasan AC 11 kWj sudah dibuka 24 jam sehari untuk kegunaan orang ramai.
Difahamkan, ia mengenakan kadar standard iaitu RM6 untuk setiap sejam.

Di sebalik pembukaan fasiliti itu, Pengarah Urusan BMW Group Malaysi, Hans de Visser turut mengucapkan tahniah kepada Regas Premium Sabah yang telah lama bersama dengan pihaknya sebagai rakan pengedar.
“Ia adalah satu langkah berani yang diambil demi memperluaskan aksesibiliti terhadap mobiliti lestari buat para pelanggan dan semua pemilik EV di Kota Kinabalu.

“Langkah ini dilihat cukup penting untuk mencorak semula tabiat mobiliti di samping memacu penerimaan kenderaan elektrik di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Prinsipal Pengedar merangkap Pengarah Urusan bagi Regas Premium Sabah, Datuk Matthew Tan Yaw Tzuu berkata, pihaknya sedar bahawa Sabah mengamalkan gaya hidup dengan mementingkan alam sekitar.
Malah, ia sudah menjadi satu norma dan fasiliti pengecasan EV sulung itu dikatakan antara satu langkah yang besar ke arah visi itu.
“Ia bukan sahaja menggalakkan penggunaan EV tapi juga menepati insentif kerajaan untukmenggalakkan kaedah pengangkutan lestari.

“Untuk itu, kami yakin bahawa bekalan infrastruktur pengecasan yang mudah diakses akan membolehkan lebih ramai individu untuk beralih ke arah pemilikan EV dengan lebih yakin,” katanya.
Untuk makluman anda, Regas Premium Sabah telah berkolaborasi dengan JomCharge untuk
mewujudkan rangkaian pengecasan serba canggih yang lebih meluas, mudah, serta selari dengan kenaikan permintaan ke atas mobiliti lestari di seluruh negara.

Ia juga mahu meningkatkan aksesibiliti ke atas kemudahan pengecasan EV di seluruh pelosok negeri Sabah, dengan tumpuan terhadap lokasi-lokasi seperti Tawau yang menjadi sebahagian daripada pelan perluasan yang telah dijadualkan.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

