- Berita
- Kereta Baru
- Rolls-Royce Spectre EV Rasmi Di Malaysia – Cecah 530 KM, 584 HP, Dari RM2 Juta
Rolls-Royce Spectre EV Rasmi Di Malaysia – Cecah 530 KM, 584 HP, Dari RM2 Juta
Rolls-Royce Spectre kini dengan trenkuasa elektrik telah dilancarkan di Malaysia
Rolls-Royce Motors Cars Kuala Lumpur telah melancarkan, coupe super elektrik ultra-mewah, Rolls-Royce Spectre secara rasmi sebentar tadi. Spectre dijual pada harga asas RM2 juta tidak termasuk caj yang dikenakan untuk duti, cukai, insurans dan pilihan perincian bespoke yang lain.
CIRI MEKANIKAL ROLLS-ROYCE SPECTRE
Secara standard, Spectre dilengkapi dengan sistem suspensi adaptif pintar, sistem pengendalian roda belakang, serta pelbagai bantuan pemandu separa-autonomi
Spectre menggunakan trenkuasa elektrik sepenuhnya, yang terdiri daripada dua motor Separately Excited Synchronous Motors (SSM) yang menghasilkan prestasi yang setara dengan enjin pembakaran dalam 430 kW (584 hp) dengan tork sehingga 900 Nm. Ini membolehkan Spectre melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat.
Kedua-dua motor dikuasakan oleh pek bateri 102 kWh. Dengan cas penuh, Spectre memiliki jarak pemanduan maksimum WLTP sejauh 530 km. Pengecasan 10-80% hanya mengambil masa 34 minit menggunakan pengecas pantas.
Spectre diperkenalkan sebagai pengganti Phantom Coupe
Teknologi lain yang diketengahkan dalam penghasilan model mewah ini ialah kepintaran digital khas Spectre iaitu Decentralized Intelligence dan juga sistem suspensi planar yang memaksimumkan keselesaan penumpang.
LUARAN ROLLS-ROYCE SPECTRE
Ciri eksklusif, pintu 'coach' bukaan ke belakang. Pintu ini hadir dengan sistem bantuan pembukaan serta penutupan yang lembut secara automatik, yang kedua-duanya boleh dikawal dengan satu tekanan butang
Dari luar, terserlah kemegahan Rolls-Royce Spectre. Kali ini, model ini tampil dengan gril Pantheon, gril yang paling lebar pernah dipasang pada sebuah Rolls-Royce. Gril yang dipasang rata pada sudut hadapan ini diterangi dengan cahaya lembut daripada 22 LED yang menghasilkan efek 3D pada waktu malam.
Ciri menyerlah lain pada Spectre ialah lampu hadapan yang diinspirasikan daripada Phantom Coupé, garis waft yang lebih rendah sebagai simbol visual pengalaman “magic carpet ride” (keselesaan maksimum) yang terkenal dalam sejarah Rolls-Royce.
Di bahagian tayar, coupe dua pintu yang dipamerkan semasa pelancaran dilihat menggunakan rim bersaiz 23 inci, buat pertama kalinya bagi Rolls-Royce versi pengeluaran. Namun, secara standard, Spectre dilengkapi rim bersaiz 22 inci.
Coupe ini direka dengan profil yang lebih aerodinamik. Proses rekaan badannya yang mengambil masa 830 jam termasuk ujian terowong angin berjaya menjadikan Spectre model paling aerodinamik pernah dihasilkan dengan pekali seret (coefficient drag) hanya pada 0.25 cd.
KABIN ROLLS-ROYCE SPECTRE
Pencahayaan 'Starlight' pada headliner, kedua-dua pintu, dan panel papan pemuka sebelah penumpang
Bergerak ke bahagian dalam Rolls-Royce Spectre, model ini diberikan sentuhan istimewa hampir di setiap inci, dari segi kelengkapan, kemasan dan teknologi. Buat pertama kalinya dalam rekaan Rolls-Royce versi pengeluaran, ciri khas yang turut ditawarkan adalah termasuk 'Starlight,' yang memancarkan cahaya daripada 4,796 'bintang' pada headliner, pintu dan panel papan pemuka (dashboard) penumpang. Pelanggan juga boleh memilih kemasan Canadel yang dihasilkan tangan menggunakan pelbagai jenis kayu berkualiti.
TEMPAHAN ROLLS-ROYCE SPECTRE
Spectre ditawarkan pada harga asas RM2 juta, tidak termasuk caj yang dikenakan untuk duti, cukai, insurans dan pilihan perincian bespoke yang lain. Namun jika diambilkira pengecualian cukai EV bagi model yang diimport sepenuhnya (CBU), boleh dikatakan, ini merupakan Rolls-Royce 'paling berpatutan' yang dijual secara rasmi di negara kita.
Bagaimanapun, penghantaran global pertama bagi Spectre dikatakan akan bermula bulan depan (Q4 2023), dan kami difahamkan bahawa pelanggan yang telah membuat tempahan sekarang, mungkin akan menerima Spectre bermula dari tahun 2025.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv