- Berita
- Kereta Baru
- Ford Everest Wildtrak, Harga RM338,888

Selain Ford Ranger Platinum, Ford Everest WildTrak Edisi Khas turut dilancarkan pada majlis pelancaran yang diadakan di Bamboo Hills, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ford Everest WildTrak ini pula dijual pada harga RM338,888 (di atas jalan raya tanpa insurans) di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah (RM342,388 di atas jalan raya tanpa insurans) dan RM342,388 (di atas jalan raya tanpa insurans) di Sarawak.
Trak pikap ini dilihat menampilkan gaya tersendiri baik di dalam mahupun di luar, memandangkan Ford Everest WildTrak Edisi Khas ini direka untuk menarik perhatian individu yang suka mengembara.

Lebih menarik, ia hadir dengan teknologi bertaraf dunia dengan kemudahan dan keselesaan tahap premium bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman memandu yang cukup selesa.
Pengarah Urusan, Ford Asia Pacific Distributor Markets (APDM), DJ Simpson berkata, pihaknya cukup teruja untuk meraikan satu lagi mercu jaya penting dengan pelancaran model utama baharu dalam rangkaian varian Everest.
“Ford sentiasa komited terhadap usaha membangunkan SUV yang perlu dimiliki dengan ciri-ciri kelebihan yang luar biasa dan sudah tentu termasuk Everest WildTrak.
“Dengan penampilan baharu yang lebih perkasa dan diterapkan pelbagai unsur reka bentuk yang menarik, SUV ini pasti menarik perhatian di jalan raya,” katanya.
Difahamkan, Ford Everest WildTrak Edisi Khas direka khusus untuk mereka yang sudah berkeluarga namun gemar melakukan aktiviti lasak.


Dari segi prestasi, Ford Everest WildTrak Edisi Khas dilengkapi dengan enjin 2.0L Bi-Turbo yang digandingkan dengan transmisi automatik 10 nisbah kelajuan.
Ia hadir dengan enam pilihan mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Tunda/Tarik, Licin, Lumpur/Denai, dan Pasir.


Sementara itu, ruang kabinnya pula direka semula memandangkan terdapat kerusi kulit sintetik hitam yang dihiasi jahitan oren dan logo ‘WildTrak’ pada kerusi depan.
Selain itu, ia juag dilengkapi gril yang menonjol dengan huruf ‘WILDTRAK’ hitam pada bahagian bonet depan.
Everest WildTrak Edisi Khas ini turut menyediakan rangkaian lengkap teknologi bantuan pemandu, terutamanya Bantuan Parkir Aktif 2.0 (Pertama dalam kelas) yang memudahkan pemandu meletakkan kenderaan dalam ruang sempit dengan mudah.
Pemandu dan penumpang boleh kekal terhubung menerusi pelbagai kemudahan dan keselesaan yang disediakan, termasuk skrin sentuh dan fungsi terpelbagai bersaiz 12 inci yang terbaik dalam kelasnya, dan juga paparan maklumat warna 12.4 pada kluster instrumen.

Rel Bumbung yang diangkat pada Everest WildTrak yang menyediakan ruang untuk dililit, menjamin keselamatan tambahan untuk kargo dan panel bumbung panoramiknya yang membolehkan pelanggan menikmati panaroma langit dan pemandangan indah.

Everest WildTrak Generasi Depan ini hadir dalam tiga warna luar termasuk Luxe Yellow, Meteor Grey dan Absolute Black.
Untuk maklumat lanjut mengenai SDAC dan Ford, layari www.sdacford.com.my.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
