- Berita
- Berita Auto
- Inisiatif Pucuk Hijau: UMW Tanam Lebih 5K Pokok Bakau

UMW Toyota Motor membuktikan komitmennya terhadap alam sekitar apabila melancarkan Inisiatif Pucuk Hijau UMW (UGS), di Hutan Simpan Paya Bakau Kubang Badak, Langkawi baru-baru ini.
Untuk makluman anda, ia adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan UMW yang dipacu oleh UMW Toyota Motor dan Perodua sejak tahun 2021.
Menerusi program itu, para pelajar, guru dari MRSM Langkawi, penduduk Kampung Kubang Badak, ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), sukarelawan, kakitangan UMW Toyota Motor termasuk pengedar UMW telah menanam sebanyak 5,900 pokok bakau.
Angka itu menjadikan jumlah pokok bakau yang ditanam pada tahun 2023 ialah sebanyak 12,000 termasuk 6,100 pokok bakau yang telah ditanam di Tanjung Tuan pada Mac lalu.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, inisiatif itu menjadi salah satu langkah penting ke arah mencipta masa depan yang lebih hijau.
Menurutnya, ia selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG) dan menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Kebangsaan 2020-2050.
“Inisiatif ini selari dengan komitmen Toyota Global untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050.
“Matlamat ini merangkumi pengurangan pelepasan CO2 secara praktikal. Oleh itu, adalah penting untuk kita mengambil pendekatan berbilang cara termasuk menggalakkan penggunaan Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV),” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pihaknya cukup aktif dalam menyumbang kepada misi yang lebih besar iaitu mencipta masa depan lebih mampan.
“Toyota benar-benar yakin dengan kuasa inovasi. Matlamat kami bukan sahaja untuk mencapai neutraliti karbon tetapi juga mewujudkan masyarakat yang lebih terhubung, di mana individu boleh membuat pilihan yang sesuai dengan nilai dan gaya hidup mereka,” katanya.
Penyertaan UMW Motor dalam Inisiatif UGS ini membuktikan peranannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab secara sosial, serta komited ke arah mencipta masa depan yang lebih mampan dan hijau untuk generasi akan datang.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/