- Berita
- Berita Auto
- Pindaan Akta 333: Pesalah Bayar Pampasan Kepada Mangsa, Waris

Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju secara dasar dengan cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya serta memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata keputusan Kabinet pada Rabu lalu itu bertujuan memastikan pesalah bukan saja dikenakan hukuman sedia ada seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu, malah turut dipertanggungjawabkan atas kesan perbuatan mereka terhadap mangsa serta keluarga mangsa.
Beliau berkata, mekanisme pampasan itu akan meliputi kesalahan seperti memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu secara melulu, dan kesalahan lain yang menyebabkan kemalangan jalan raya.
"Ketika ini, pesalah hanya dikenakan hukuman penjara ataupun denda, namun tiada unsur pampasan kepada keluarga mangsa.
"Apa yang kita mahu wujudkan ialah satu mekanisme baharu dalam perundangan negara di mana mahkamah juga boleh mengarahkan mereka yang didapati bersalah itu untuk membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, cdangan jumlah pampasan itu tidak akan ditetapkan secara automatik oleh kerajaan, sebaliknya diputuskan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes.
Kriteria Penentuan Nilai Pampasan:
- Tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu.
- Kecederaan atau kehilangan nyawa yang dialami mangsa.
- Kerugian kewangan yang ditanggung oleh mangsa atau waris terdekat.
- Kemampuan kewangan pesalah untuk membayar pampasan tersebut.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
