- Berita
- Kereta Baru
- Rolls-Royce Phantom Series II Dengan Sentuhan Baharu Kini Di Malaysia – Dari RM2.5 Juta*
Rolls-Royce Phantom Series II Dengan Sentuhan Baharu Kini Di Malaysia – Dari RM2.5 Juta*
Dari kiri: Pengurus Komunikasi Korporat Asia Pasifik, Rolls-Royce, Hal Serudin; Sosialit, Jas Chin; Pelakon, Debbie Goh; dan Pengarah di Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Anas Zawawi Khalid.
Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur (Quill Motorcars Sdn Bhd) mengumumkan kedatangan model terkini Rolls-Royce Phantom Series II ke tanah air pada hari ini. Model ini dipertontonkan kepada bakal pembeli dan media yang dijemput dalam pameran khas yang diadakan pada awal minggu ini di Glasshouse, Seputeh.
Model yang dipertontonkan ini ialah sedan mewah Phantom generasi ke-8 yang telah diberikan pembaharuan baru-baru ini setelah diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 2017. Perubahan yang diberikan kebanyakannya adalah dari segi visual atau reka bentuk kereta.
Perubahan luarannya agak halus, dan memerlukan pemerhatian yang terperinci untuk dikesan, misalnya rekaan baharu yang diberikan pada gril Pantheon dan lampu depannya yang kini tampil dengan bezel ‘cahaya bintang.’
Dalam peningkatan Series II, Phantom diberikan dua pilihan rekaan rim yang termasuk rim ‘disc’ (kiri) yang biasa digunakan pada kereta coach mewah pada sekitar tahun 1920-an. Ciri baharu lain ialah pilihan rim tahan karat dengan permukaan berbentuk segi tiga atau triangular facets, yang boleh didapati dalam versi gilapan separa atau sepenuhnya.
Bahagian lain pada badan Phantom kekal sama, tetapi pembeli boleh memilih beberapa pilihan hiasan luaran baharu termasuk gril krom gelap, rein bonet berwarna hitam, windscreen surround, serta kemasan rangka tepi.
Bahagian dalam kereta turut diberikan kemas kini.
Menurut Rolls-Royce, kemas kini yang dibuat pada versi kali ini adalah berdasarkan maklumbalas daripada pelanggan. Salah satu ciri yang ditambah berdasarkan informasi tersebut adalah rekaan stereng yang lebih tebal.
Peningkatan penting lain di bahagian dalam adalah teknologi sambungan “Rolls-Royce Connected” yang kini menawarkan integrasi lebih lancar melalui aplikasi eksklusif, Whisper, yang boleh dimuatturun melalui iOS dan Android, melalui undangan khas.
Teknologi kali ini membolehkan pengguna menghantar alamat destinasi daripada telefon pintar kepada sistem navigasi kereta. Dalam masa yang sama, aplikasi ini turut boleh memaparkan lokasi dan dan status kenderaan.
Selain yang telah dinyatakan, tidak banyak perubahan dapat dilihat dalam aspek lain. Dari segi mekanikal, model ini masih dikuasakan oleh enjin turbo kembar V12 6.75 liter dengan output 563 hp dan 900 Nm.
Unit yang dipamerkan oleh RRMCKL minggu ini menggunakan cat kelabu Tempest Grey, serta dilengkapi rim aloi 22 inci
Antara ciri yang menarik pada unit yang dipamerkan RRMCKL adalah kemasan Technical Fibre yang digunakan pada bahagian dashboard, bumbung dengan cahaya 'Shooting Star' serta upholsteri putih Artic White dengan jahitan merah jambu Peony Pink
Phantom Series II boleh ditempah dalam bentuk jarak antara roda atau wheelbase Standard atau Extended. Harga? Bergantung kepada tempahan namun secara asasnya versi Standard ditawarkan dari RM2.5 juta, dan Extended pula dari RM2.9 juta. Angka yang dinyatakan tidak termasuk pilihan kustom, duti, cukai dan kos atas jalan.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv