- Berita
- Kereta Baru
- Mercedes-Benz GLE 450 4Matic Facelift CKD Kini di Pasaran – Dari RM528,888
Mercedes-Benz GLE 450 4Matic Facelift CKD Kini di Pasaran – Dari RM528,888

Mercedes-Benz GLE 450 4Matic generasi V167 facelift.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan model yang diberikan penyegaran, SUV mewah Mercedes-Benz GLE 450 4Matic generasi V167 facelift untuk pasaran tempatan. Model yang dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang ini ditawarkan pada harga RM528,888, tidak termasuk insurans.
Walaupun kehadirannya di pasaran baru diumumkan tetapi ia telah dipertontonkan kepada media tempatan sejak November tahun lalu semasa pelancaran GLC 300 4Matic Coupe generasi kedua dan AMG GLE 53 4Matic+ Coupe generasi C167 facelift.
-full.jpg)

Kod casis V167 bermaksud GLE 450 ialah sebuah model dengan jarak antara roda yang panjang (LWB), menampilkan tiga baris tempat duduk.
Kod V167 menandakan GLE 450 yang diberikan pembaharuan ini adalah versi dengan jarak antara roda yang panjang (LWB) yang menawarkan tiga baris tempat duduk atau dengan tujuh tempat duduk.
Seperti versi sebelum ini, model GLE 450 yang diperbaharui masih dikeluarkan oleh kilang Mercedes di Pekan, Pahang. Penyegaran untuk versi facelift kali ini diberikan pada bahagian luar dan juga ruang kabin.



Gril, lampu depan dan bampar depannya diberikan sentuhan baharu.
Perubahan yang diberikan di bahagian luar dapat dilihat dengan jelas daripada sudut hadapan yang kini menggunakan bampar dalam rekaan baharu, apron AMG Line krom baharu, gril berlian AMG Line baharu, lampu hadapan jenis LED berserta grafik DRL LED baharu. Bahagian belakang juga menggunakan lampu jenis LED sepenuhnya.
Baca: Model Coupe Mercedes-AMG GLE & Mercedes-Benz GLC Dilancarkan – Dari RM469K
Kelengkapan baharu lain ialah panel ambang sisi AMG Line, cladding lengkungan roda dalam warna badan serta apron belakang AMG Line dengan elemen yang kelihatan seperti diffuser. Sentuhan AMG Line disempurnakan lagi dengan penggunaan rim baharu, aloi ringan multi-jejari AMG bersaiz 12 inci.





Kabinnya juga diberikan beberapa sentuhan baharu seperti yang dapat dilihat pada bahagian stereng, upholsteri dan teknologinya.
Di dalam kabin, GLE 450 mendapat sentuhan baharu dengan tempat duduknya kini menggunakan sarung kombinasi kulit buatan Artico dan mikrofiber, stereng baharu balutan kulit Nappa, panel kawalan sentuh baharu serta corong udara jenis besi dengan bingkai krom.
Elemen menarik lain di dalam kabin ialah penggunaan kemasan bercorak kayu Anthracite dan skrin dwi-digital yang telah dikemaskini (kedua-duanya berukuran 12.3 inci). Sistem infotainmennya menggunakan perisian MBUX terkini dengan fungsi navigasi serta paparan AR, serta boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Sistem audio yang digunakan ialah Burmester 3D dengan 13 speaker.


Enjin petrol turbo 6 silinder sebaris 3.0 liter kini digabungkan dengan teknologi hibrid ringkas (MHEV) generasi kedua.
Untuk trenkuasa, GLE 450 masih menggunakan enjin petrol turbo 6 silinder sebaris 3.0 liter, kini dipasangkan dengan teknologi hibrid ringkas (MHEV) generasi kedua. Output kuasa telah meningkat sedikit menjadi 381 hp dan 500 Nm, dengan kuasa disalurkan kepada semua roda (AWD) melalui transmisi automatik 9 kelajuan. Ini membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa sepantas 5.6 saat.
Baca: Mercedes-AMG Bangunkan SUV Elektrik 1,000 HP? Ini Perkembangannya...
Dari segi keselamatan, GLE 450 diberikan ciri bantuan pemandu aktif (ADAS) yang telah dikemaskini dengan penambahan Driving Assistance Package Plus yang hadir dengan ciri bantuan jarak aktif DISTRONIC, bantuan pengendalian aktif dan juga bantuan pengendalian evasif atau PRE-SAFE Impulse Side. Selain itu, sistem parkir generasi 5.0 turut diperkenal kembali dalam ciri bantuan parkir aktif untuk memudahkan parkir menegak.
Mercedes-Benz GLE 450 4Matic yang telah diperbaharui ini kini ditawarkan di pasaran melalui pengedar sah Mercedes-Benz di seluruh negara pada harga RM528,888 tanpa insurans.

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv