- Berita
- Kereta Baru
- Lexus LM 2024 Kini Rasmi Di Malaysia – 2 Varian Hibrid, Dari RM1.2 Juta
Lexus LM 2024 Kini Rasmi Di Malaysia – 2 Varian Hibrid, Dari RM1.2 Juta
Lexus Malaysia (UMWT) telah mengumumkan kedatangan barisan MPV mewah, Lexus LM generasi kedua. Dua varian hibrid telah diumumkan iaitu LM350h dan LM500h.
REKAAN LEXUS LM 2024
Bagi mereka yang merasakan bahawa Toyota Alphard dan Vellfire generasi terkini tidak cukup mewah, dengan ini Lexus Malaysia telah menawarkan model lebih tinggi, lebih mewah dan eksklusif untuk Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri.
MPV versi ultra mewah ini diposisikan lebih tinggi berbanding Alphard dan Vellfire generasi terkini.
Casis Lexus LM diberikan peredam atau damper adaptif. Ciri menarik lain ialah rim berukuran 19 inci.
Varian pertama, LM350h memiliki konfigurasi tempat duduk 4 orang, manakala LM500h pula boleh memuatkan 7 orang. Keduanya dipadatkan ciri mewah dan teknologi terkini, di samping estetika rekaan yang elegan.
Dari luar, LM kelihatan lebih menyerlah dan berbeza daripada ‘saudaranya’ Toyota kerana diberikan ciri rekaan khas seperti gril ‘spindle’ Lexus yang diapit oleh lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan singan yang berbentuk L di sekelilingnya. Di sudut bawah, LM diberikan rim besar berukuran 19 inci. Di bahagian belakang, kelebaran jentera terserlah dengan lampu belakang yang melintang berkelebaran penuh.
CIRI TRENKUASA & MEKANIKAL LEXUS LM 2024
Kedua-dua varian menggunakan trenkuasa hibrid petrol-elektrik.
Dari segi trenkuasa, LM350h menggunakan enjin petrol 2.5 liter Dynamic Force 4 silinder kitaran Atkinson yang dipertingkatkan dengan sepasang motor elektrik, menggantikan pengecas turbo. Enjin pembakarannya memberikan kereta kuasa 190 ps dan 239 Nm, manakala bahagian elektrik pula 182 ps dan 270 Nm.
Gabungan kedua-duanya memberikan output 250 ps yang dikelola oleh sistem transmisi automatik eCVT bagi menggerakkan roda hadapan.
LM500h pula menggunakan enjin petrol turbo 2.4 liter yang lebih bertenaga, yang dipertingkatkan oleh satu motor elektrik di belakang. Gabungan kuasa untuk varian ini adalah 371 ps dan 550 Nm yang memacu keempat-empat roda (AWD) melalui sistem transmisi automatik 6 kelajuan.
Dengan enjin lebih berkuasa, LM500h boleh membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 185 km/j. Yang penting, dengan adanya sistem elektrik, dapat mengurangkan penggunaan bahan bakar kepada purata 6.6 liter/100 km.
Kedua-dua varian ini dibangunkan berdasarkan platform TNGA-K yang sama dengan Alphard dan Vellfire, tetapi Lexus diberikan ciri tambahan iaitu peredam (damper) fleksibel yang memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik.
KABIN LEXUS LM 2024
Perbezaan utama antara kedua-dua varian terletak pada susunan tempat duduk dan pelbagai peralatan dan kemudahan yang disediakan dalam setiap model.
Model asas LM350h menampilkan tempat duduk tiga baris untuk 7 orang dalam konfigurasi 2-2-3. Antara ciri menarik di bahagian kabinnya ialah monitor yang dipasang pada bahagian bumbung berukuran 14 inci, kawalan pendingin hawa empat zon, sistem audio Mark Levinson 21 speaker, pad cas tanpa wayar di belakang, kamera 360 darjah dengan fungsi "see-through", dua panel bumbung kaca, meja lipat magnesium dan tirai suria automatik.
Ciri lain ialah interface Tazuna untuk skrin, ciri ini pertama kali digunakan pada crossovcer NX generasi kedua. Skrin paparan ini terdiri daripada instrumen digital berukruan 12.3 inci dengan skrin sentuh di bahagian tengah berukuran 14 inci.
Varian teratas, LM500h menampilkan 4 tempat duduk dalam konfigurasi 2-2. Varian ini dilengkapi dengan sistem audio Mark Levinson 23 speaker, tempat duduk barisan kedua direka khas berkonsep ‘business-class’ dengan fungsi pemanasan, pengudaraan dan urutan.
Dalam ruang yang sama, terdapat skrin hiburan 48-inci dengan dua input HDMI dan fungsi pembahagi skrin. Turut disediakan kemudahan seperti peti sejuk, pemegang payung dan ruang simpanan yang besar di setiap sisi, serta skrin kaca elektrokromatik dengan bingkai magnesium.
SISTEM KESELAMATAN LEXUS LM 2024
Kedua-dua varian dilengkapi dengan pakej keselamatan ADAS penuh Lexus Safety System+ (LSS+) yang termasuk Kawalan Pelayaran Adaptif dengan fungsi Henti-Mula, Bantuan Kekal Lorong, Pemantauan Titik Buta, Bantuan Parkir dan banyak lagi.
HARGA JUALAN LEXUS LM 2024
Dengan pelbagai ciri mewah ditawarkan, Lexus LM ditawarkan di pasaran pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding dengan Alphard dan Vellfire pada harga bermula dari RM1,228,000 untuk LM350h dan dari RM1,468,000 untuk varian teratas LM500h.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv