- Berita
- Kereta Baru
- Mercedes-Benz EQS 450 4Matic SUV Dipertontonkan – Capai 673 KM, 355 HP, Dari RM625K!
Mercedes-Benz EQS 450 4Matic SUV Dipertontonkan – Capai 673 KM, 355 HP, Dari RM625K!
Mercedes-Benz Malaysia hari ini telah mempertontonkan EQS 450 4Matic SUV, varian terbaru dalam barisan kenderaan elektrik (EV) mewahnya, EQ, menyertai EQS 580 4Matic SUV yang telah dipasarkan di Malaysia sejak suku ke-4 tahun lalu. Varian ini dipasarkan pada harga RM625,888 atas jalan tanpa insurans.
TRENKUASA & PRESTASI EQS 450 4MATIC SUV
Varian ini digerakkan oleh sistem dua motor yang dikuasakan oleh bateri NMC yang telah diperbaik dengan dengan kapasiti tenaga yang lebih tinggi iaitu 118 kWj (daripada 107.8 kWj).
Sistem dwi-motor ini menghasilkan 355 hp atau 265 kW dengan tork 800 Nm, yang sedikit kurang berbanding EQS 580 4Matic SUV yang menawarkan 536 hp atau 400 kW dan tork 858 Nm.
Dengan trenkuasa ini, EQS 450 mampu membuat pecutan daripada 0-100 km/j dalam masa sepantas 6.1 saat, atau 1.5 saat lebih lambat berbanding EQS 580, dengan kelajuan maksimum sama iaitu 210 km/j.
Dengan cas penuh, varian ini boleh bergerak sejauh 673 km (WLTP), ataupun 58 km lebih jauh berbanding varian yang lebih tinggi. EQS 450 boleh dicas daripada 0-100% dalam masa hanya 6 jam 15 minit menggunakan pengecas AC dengan input sehingga 22 kW, manakala dengan DC berkapasiti maksimum 200 kW pula hanya mengambil masa 31 minit daripada 10-80%.
SISTEM SUSPENSI & KAWALAN EQS 450 4MATIC SUV
EQS 450 dilengkapi dengan sistem suspensi udara Airmatic bersama ADS+ yang membolehkan ketinggian kenderaan dinaikkan atau diturunkan sehingga 25 mm bergantung pada mod pemanduan yang dipilih.
Selain itu, varian ini turut didatangkan dengan salah satu ciri penting untuk sebuah jentera bersaiz besar iaitu sistem stereng gandar belakang, yang membolehkan roda belakang untuk berpusing sehingga 10 darjah untuk mengurangkan radius pusingan. Selain itu, lima mod pemanduan ditawarkan iaitu ECO, COMFORT, SPORT, INDIVIDUAL dan OFFROAD.
REKA BENTUK LUARAN EQS 450
Dari segi rekaan, EQS 450 ditawarkan secara standard dengan pakej luaran sporty, AMG Line yang termasuk bampar hadapan yang agresif, kemasan hitam pada apron bawah.
Ciri lain yang dapat dilihat daripada luar varian ini ialah lampu depan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus dan bar lampu berkelebaran penuh.
Dari tepi, ciri yang menyerlah ialah penggunaan rim aloi multi-spoke AMHG berukuran 22 inci dan pemegang pintu yang terbenam. Bergerak ke sudut belakang, varian ini diberikan lampu belakang dengan grafik 3D.
KABIN & TEKNOLOGI EQS 450 4MATIC SUV
Ruang kabin EQS 450 tampil elegan dengan pakej kemasan Electric Art. Mercedes-Benz menjadikan kayu magnoli berliang bercorak Mercedes-Benz pada sebagai kemasan pada konsol tengah dan panel pintu, sementara itu aksen aluminium menyerlah gaya premium pada segenap sudut. Tempat duduknya pula diberikan upholsteri kulit nappa berwarna hitam, dengan balao brown pada konsol tengah dan perehat tangan pada pintu.
Dari segi teknologi, EQS 450 didatangkan dengan sistem paparan lebar, MBUX Hyperscreen yang merupakan gabungan tiga skrin termasuk kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin infotainmen 17.7 inci dan skrin sentuh untuk penumpang hadapan berukuran 12.3 inci. Turut disediakan ialah papar pandu (HUD).
Bukan hanya untuk tempat duduk hadapan, barisan belakang turut disediakan dengan dua skrin berasingan yang berukuran 11.6 inci yang dipasangkan pada sudut belakang penyandar kepala tempat duduk hadapan. Selain hiburan, skrin sama boleh digunakan untuk mengawal pencahayaan ambien.
Melengkapkan sistem hiburannya ialah sistem audio Burmester dengan 15 speaker yang menyokong Dolby Atmos yang menjanjikan pengalaman audio keliling 360 darjah.
CIRI KESELAMATAN & BANTUAN PEMANDU EQS 450 4MATIC SUV
Dari segi keselamatan, EQS SUV dilengkapi dengan Pakej Bantuan Pemanduan Plus yang merangkumi ciri seperti Distronic Plus, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, sokongan pergerakan evasif, Pre-Safe Impulse Side dan sensor belakang untuk bantuan keluar lorong.
Turut disertakan ialah Pakej Parkir dengan kamera 360 darjah serta Active Parking Assist bersama Parktronic.
HARGA JUALAN EQS 450 4MATIC SUV
Mercedes-Benz EQS 450 4Matic SUV dipasarkan pada harga RM625,888 atas jalan tanpa insurans, RM74,000 lebih murah berbanding model EQS580 4Matic SUV yang merupakan varian tertinggi dalam siri ini.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv