- Berita
- Kereta Baru
- Toyota Camry 2025 Kini Di Malaysia – Satu Varian, Dari RM248,800
Toyota Camry 2025 Kini Di Malaysia – Satu Varian, Dari RM248,800
Selepas diperkenalkan di Thailand dan Singapura, kini tiba giliran Malaysia menerima kehadiran Toyota Camry generasi kesembilan. Model ini sebentar tadi telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia oleh UMW Toyota Motor semasa Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024.
Pilihan Trenkuasa Hibrid
Model generasi terbaru ini menggunakan sistem trenkuasa hibrid terkini atau generasi kelima Toyota yang menggabungkan enjin petrol aspirasi natural 4 silinder Dynamic Force 2.5 liter (A25A-FXS) dengan output 184 hp (186 ps) dan 221 Nm dengan motor elektrik 134 hp (136 ps) dan 208 Nm yang memberikan kuasa keseluruhan 227 hp (230 ps). Kuasa disalurkan kepada roda hadapan (FWD) melalui sistem transmisi e-CVT.
Model ini menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 1.006 kWj, menggantikan unit nickel-metal hydride (Ni-MH) yang digunakan sebelum ini.
Dibangunkan berdasarkan platform TNGA-K, Camry kali ini diberikan suspensi yang telah dinaiktaraf untuk kualiti pengendalian yang lebih baik berbanding versi terdahulu.
Sentuhan Terkini Yang Elegan
Toyota Camry generasi kesembilan menampilkan bahasa reka bentuk ‘hammerhead’ yang diadaptasi daripada model Toyota terkini seperti Prius. Ciri utama reka bentuk termasuk lampu depan dan belakang LED berbentuk C, gril depan di bahagian bawah yang besar, bentuk sedan yang elegan dan rim aloi 18 inci.
Dari segi dimensi, model ini lebih besar berbanding versi terdahulu dengan ukuran panjang 4,920 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,445 mm dan jarak roda 2,825 MM.
Model ini ditawarkan dalam enam pilihan warna premium iaitu Cement Grey, Dark Blue Mica, Precious Metal dan Emotional Red, serta pilihan warna klasik seperti Platinum White Pearl dan Attitude Black.
Kabin Premium Sarat Teknologi
Bahagian kabin Camry generasi baharu ini direka dengan teliti untuk memberikan keselesaan yang optimum. Model ini diberikan pelbagai teknologi dan kelengkapan baharu termasuk skrin infotainmen tengah 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kluster instrumen digital 12.3 inci, papar pandu (HUD), bumbung panoramik, serta kawalan pendingin hawa tiga zon serta pelindung daripada matahari yang boleh dilaraskan secara automatik untuk kesemua empat tingkap. Tempat duduk depan hadir dengan ciri pengudaraan dan banyak lagi.
Keselamatan Canggih dengan Toyota Safety Sense
Toyota Camry generasi baharu juga menawarkan sistem keselamatan ADAS terkini melalui pakej Toyota Safety Sense. Antara ciri yang disediakan termasuk kawalan jelajah radar dinamik (DRCC) dengan pengurangan kelajuan di selekoh, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dengan bantuan keluar daripada kenderaaan dengan selamat, amaran keluar lorong dan banyak lagi.
Pembelian adalah termasuk waranti pengilang selama 5 tahun, tanpa had perjalanan serta waranti selama 8 tahun tanpa had perjalanan untuk bateri hibrid, inverter dan ECU kawalan pengurusan kuasa. Waranti lanjutan selama 2 tahun turut ditawarkan dengan caj tambahan.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv