- Berita
- EV
- Proton e.MAS 7 Masuk Nepal, Ada 2 Varian, Harga Bermula Serendah RM183K
Divisyen Jualan Antarabangsa (ISD) PROTON melancarkan secara rasminya Proton e.MAS 7 ke pasaran Nepal, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong menyifatkan pelancaran Proton e.MAS 7 di Nepal hanyalah satu permulaan.
“Kami merancang untuk memperkenalkan Proton e.MAS 7 ke pasaran antarabangsa lain bagi menyokong cita-cita pertumbuhan global jenama tersebut.
Pada masa akan datang, kami akan memperkenalkan model EV kami ke Trinidad & Tobago, Mauritius dan juga Singapura,” katanya.
Pelancaran ini menandakan permulaan strategi antarabangsa yang lebih luas kerana ia merancang untuk memperkenalkan EV pertamanya ke pasaran global lain.
Untuk pasaran Nepal, Proton e.MAS 7 ditawarkan dalam varian Prime dan Premium dimana Prime dijual pada harga NPR5,699,000 (RM183,000) manakala Premium, NPR6,799,000 (RM218,000).
Ia ditawarkan dalam enam warna: Perak Platinum, Hijau Pirus, Kelabu Slate, Ros Kuarsa, Hitam Moyu, dan Putih Litium.
Dibina pada platform Seni Bina Modular Global, teknologi utamanya termasuk sistem pendorong elektrik pintar 12-dalam-1 yang terkemuka dalam industri, seni bina bateri Sel-ke-Tubuh serta Bateri Bilah Pendek Aegisnya.
Di sebalik pelancaran model EV ini, masyarakat Nepal sebenarnya sudah menyaksikan EV pertama PROTON semasa jelajah nasional yang diadakan pada 21 Februari lalu.
Ketika itu, Proton e.MAS 7 yang digunakan untuk siri jelajah, menampilkan reka bentuk bertemakan Nepal selain simbol-simbol nasional dan pemandangan Himalaya.
Jelajah ini melintasi semua tujuh wilayah dengan 18 lokasi berhenti di Nepal, termasuk tempat-tempat terkenal seperti Janakpur, Birtamod dan Itahari.
Melalui media sosial, kempen ini berjaya menarik penglibatan orang ramai, sekaligus meningkatkan jumlah pengikut kepada lebih 27,000 di laman media sosial syarikat pada awal Mac.
Buat masa ini, hanya 50 unit e.MAS 7 telah dihantar ke Nepal pada bulan Februari lalu manakala sejumlah kecil unit juga telah dihantar ke Singapura dan Trinidad & Tobago untuk tujuan penilaian.
Selain itu, pengedar sah PROTON di Nepal, Jagdamba Motors Pvt Ltd, sedang aktif mengembangkan rangkaian pengedarnya.
Pada masa ini, tiga pengedar beroperasi, dengan rancangan untuk memuktamadkan perjanjian dengan 12 pengedar di seluruh negara menjelang akhir 2025.
Syarikat ini juga merancang untuk membangunkan infrastruktur pengecasan dan membina jaringan pusat servis yang mantap di seluruh negara bagi mengurangkan sebarang kebimbangan pelanggan terhadap kenderaan elektrik.
Lagipun, kadar penembusan EV di Nepal meningkat dari 6% TIV pada 2021 kepada 73% pada 2024, iaitu peningkatan sembilan kali ganda dari 1,138 unit ke 10,794 unit.
Oleh itu, kemasukan PROTON ke pasaran adalah tepat pada masanya dan selaras dengan Visi Mobiliti Hijau Nepal serta peralihannya ke arah pengangkutan lestari.
Susulan itu, Pihak Berkuasa Elektrik Nepal (NEA) telah berjanji untuk membangunkan lebih 300 stesen pengecasan di seluruh negara dalam tiga tahun akan datang.
Langkah itu diambil untuk meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik dan mengurangkan pergantungan bahan api fosil.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari