- Berita
- Kereta Baru
- BMW X3 20 xDrive M Sport Kini Rasmi Di Malaysia – CKD, Dari RM349,000
BMW X3 20 xDrive M Sport Kini Rasmi Di Malaysia – CKD, Dari RM349,000
BMW Group Malaysia hari ini melancarkan BMW X3 20 xDrive M Sport yang memperlihatkan reka bentuk yang lebih gah daripada biasa. Model ini ditawarkan di pasaran pada harga bermula daripada RM349,000.
Ciri Mekanikal BMW X3 20 xDrive M Sport
BMW X3 20 xDrive M Sport dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter dengan teknologi hibrid ringkas 48 volt, menghasilkan kuasa gabungan 153 kW (208 hp) dan tork 330 Nm. Dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan, sistem pacuan semua roda xDrive menggantikan pacuan roda belakang model sebelum ini, untuk kuasa cengkaman dan kestabilan yang lebih baik dalam pelbagai keadaan jalan.
SUV ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 7.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 215 km/j.
Sistem suspensi standard BMW X3 20 xDrive M Sport telah diperbaik untuk ketepatan pengendalian yang lebih tinggi dan menigkatkan keselesaan pemanduan.
Penambahbaikan termasuk bearing gandar belakang yang lebih keras, pemasangan penstabil yang disemak semula, dan kelebaran trek belakang yang ditambahkan sebanyak 45 milimeter untuk kestabilan lebih baik. Nisbah direct steering menjadikan kenderaan terasa lebih responsif sama ada di jalan berliku atau laluan yang tidak rata.
Reka Bentuk BMW X3 20 xDrive M Sport
Dari segi rekaan, BMW X3 20 xDrive M Sport tampil menyerlah dengan pelbagai sentuhan unik termasuk gril kidney dalam warna krom mutiara (Pearl Chrome) yang makin berseri apabila disinari BMW Iconic Glow. Gril ini diapit oleh lampu LED baharu dengan elemen pencahayaan berbentuk L.
Profil sisi pula menonjolkan karakter sporty dengan bonet yang panjang, jarak roda yang panjang, overhang yang pendek dan bonet tinggi yang sinonim bagi sebuah kenderaan aktiviti sukan (SAV). Di sini juga dapat dilihat penggunaan rim aloi M berukuran 19 inci dengan jejari berbentuk Y dalam kemasan dua warna 1035 M, dikelilingi oleh lengkungan roda yang besar.
Bergerak ke belakang, sudut yang paling menyerlah ialah lampu belakang dalam rekaan split baharu menampilkan bentuk dua L dengan lampu isyarat membelok terletak di antara dua elemen lampu tersebut.
Kabin Minimalis Tapi Sarat Teknologi Canggih
Ruang dalaman BMW X3 20 xDrive M Sport menampilkan reka bentuk minimalis tetapi beraura mewah dengan penggunaan bahan berkualiti tinggi. Memasuki ruang kabin, ciri pertama yang menarik perhatian ialah skrin melengkung BMW Curved Display tanpa bingkai yang menggabungkan kluster instrumen 12.3 inci dan paparan kawalan 14.9 inci, sedikit condong ke arah pemandu. Sistem ini boleh dihubungkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay.
Model ini menggunakan sistem operasi terbaru BMW dengan ciri QuickSelect, membolehkan kawalan intuitif melalui skrin sentuh, kawalan suara atau BMW Controller.
Di bawah skrin lebar tersebut terdapat BMW Interaction Bar yang bercahaya, ciri ini menawarkan kawalan sentuh dinamik dan pencahayaan ambien dengan 15 pilihan warna.
Untuk keselesaan, model ini menggunakan stereng M kulit tiga jejari dengan bahagian bawah rata yang memudahkan pengguna masuk dan keluar serta tempat duduk sport yang hadir dengan sistem pelarasan automatik dan fungsi memori.
Kelengkapan menarik lain ialah papar pandu (HUD) BMW, ruang pengecasan tanpa wayar sehingga 15W dengan pencahayaan LED, kamera ruang kabin, pendingin hawa automatik tiga zon dan karpet velour.
Untuk simpanan barangan, kapasiti ruang bagasi ialah 570 liter, boleh diperluas sehingga 1,700 liter.
Sistem Bantuan Pemandu Lengkap
BMW X3 20 xDrive M Sport dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemandu canggih seperti Driving Assistant Plus yang merangkumi amaran pertukaran lorong dengan campur tangan stereng aktif, amaran perlanggaran hadapan dengan brek automatik, bantuan mengelak kenderaan, penunggang basikal dan pejalan kaki, amaran pusingan kiri dengan fungsi brek, paparan had laju dengan indikator larangan memotong, serta amaran keletihan pemandu.
Sistem kawalan pelayaran aktif dengan fungsi Stop & Go dan bantuan stereng serta kawalan lorong turut disediakan.
Parking Assistant Plus pula menggunakan kamera dan ultrasound untuk fungsi Park Assist, Reversing Assistant, kawalan jarak parkir aktif, sistem pandangan sekeliling dan rakaman video keselamatan.
Pembelian BMW X3 20 xDrive M Sport
BMW X3 20 xDrive M Sport boleh didapati dalam beberapa pilihan warna termasuk Alpine White, Black Sapphire, Dune Grey dan Tanzanite Blue. Untuk kabin, warna dan kemasan yang ditawarkan ialah upholsteri Veganza berpori (perforated) dalam warna hitam dan coklat (Espresso Brown). Mengenai harga, BMW X3 20 xDrive M Sport dijual pada harga RM349,000, atas jalan tanpa insurans, termasuk pakej waranti lanjutan lima tahun BSRI dan servis.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv