- Berita
- Kereta Baru
- Mazda CX-60 Kini Boleh Ditempah – Anggaran Dari RM199K
Pengedar Mazda di Malaysia telah mula menerima tempahan untuk SUV baharu, Mazda CX-60, yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi dalam tahun ini.
Berdasarkan hantaran yang dibuat di Facebook oleh salah satu pengedar jenama tersebut, model ini ditawarkan dalam satu varian sahaja, iaitu 2.5G 2WD High, dengan harga anggaran bermula dari RM199,000.
Reka Bentuk Premium
Didedahkan buat pertama kalinya semasa Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS 2024), dengan saiz yang lebih besar daripada CX-5, CX-60 disasarkan untuk bersaing dalam segmen SUV bersaiz sederhana premium, memberi saingan kepada model seperti Mercedes-Benz GLC, Toyota Harrier dan Lexus NX.
Mazda CX-60 menampilkan reka bentuk elegan dengan lima pilihan warna luaran iaitu Soul Red Crystal, Platinum Quartz, Rhodium White, Jet Black dan Zircon Sand. Sebagai model pertama daripada kumpulan model besar Mazda yang memasuki pasaran Malaysia, CX-60 dijangka menarik minat pembeli yang mencari SUV bersaiz sederhana dengan sentuhan mewah.
Dipacu Enjin 2.5L
Di bawah bonet, CX-60 dilengkapi dengan enjin petrol 2.5 liter Skyactiv-G yang menghasilkan 189 hp dan tork 261 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik Skyactiv-Drive 8 kelajuan yang menyalurkan kuasa kepada roda belakang (RWD), berbeza dengan CX-5 dan CX-8 yang menggunakan pacuan roda depan atau semua roda.
Sekiranya ini benar, nampaknya pasaran Malaysia tidak akan menerima varian hibrid plug-in 2.5 liter serta varian 3.3 liter enjin enam silinder sebaris bagi model CX-60, seperti yang ditawarkan di pasaran ASEAN lain seperti Indonesia dan Filipina.
Kabin Canggih & Selesa
Buat masa ini, pengedar belum mendedahkan spesifikasi penuh CX-60 yang ditawarkan, namun sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, CX-60 dijangka dilengkapi dengan ciri-ciri seperti paparan infotainmen tengah 12.3 inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.
Model ini turut dilengkapi paparan meter digital 12.3 inci, papar pandu (HUD), tempat duduk hadapan dengan fungsi pelarasan automatik dan pengudaraan, bumbung suria panoramik dan sebagainya. Aura premium model ini pula terserlah melalui penggunaan kemasan kulit premium.
Pembelian Mazda CX-60
Selain pendedahan harga jualan tentatif pada RM199,000, pengedar turut memaklumkan bahawa pembeli Mazda CX-60 dapat menikmati jaminan kenderaan selama 5 tahun atau 100,000 km, serta penyelenggaraan berjadual percuma untuk tempoh yang sama, sepertimana model-model Mazda lain di Malaysia.
Baca: SUV Mazda CX-60 & CX-80 Dipertontonkan Di KLIMS 2024 – Elegan, Sarat Teknologi
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv