- Berita
- EV
- BYD Atto 2 Bakal Dilancar 24 Julai Ini, Yang Penting BYD Atto 2 Tiada Pesaing Dari Jenama EV Lain
BYD Atto 2 Bakal Dilancar 24 Julai Ini, Yang Penting BYD Atto 2 Tiada Pesaing Dari Jenama EV Lain
Selepas seminggu mendedahkan imej teaser di Instagram, BYD Cars Malaysia sudah mengesahkan secara rasminya bahawa BYD Atto 2 akan memasuki pasaran Malaysia dalam tempoh terdekat ini.
Dikhabarkan, BYD Atto 2 akan dilancarkan secara rasminya pada 24 Julai ini manakala bagi yang berminat, anda boleh memandu uji jentera baharu ini mulai 25 hingga 27 Julai ini di Heritage Valley, Kuala Lumpur.
Sepanjang sesi pandu uji itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan untuk anda!
Bagaimanapun, spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum disahkan, namun kami menjangkakan BYD Malaysia akan memperkenalkan versi 45 atau 51 kWh, yang kedua-duanya menawarkan jarak lebih 300 KM mengikut piawaian WLTP.
Semua varian Atto 2 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang dipasang di bahagian hadapan, yang mana ia mampu menghasilkan kuasa setakat 130 kW atau 174 hp dan tork 290 Nm.
Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km hanya dalam masa 7.9 saat, sekali gus menjadikannya antara model paling pantas dalam kelasnya dan sesuai untuk kegunaan bandar.
Dari segi dimensi, ia berukuran 4,310 mm (panjang) dengan jarak roda 2,620 mm, selebar 1,830 mm dan setinggi 1,675 mm. Menerusi ukuran ini, ia menawarkan ruang kabin yang cukup luas dan praktikal.
Dari segi ruang kabinnya, BYD Atto 2 direka dengan begitu kemas. Di pasaran lain, varian spesifikasi tinggi hadir dengan skrin infotainmen berputar bersaiz lebih besar iaitu 12.8 inci, pencahayaan ambien, kamera pandangan sekeliling, pengecasan tanpa wayar dan tempat duduknya hadir dengan fungsi pemanasan.
Susun atur dua varian yang serupa dijangka untuk pasaran Malaysia, namun semuanya hanya disahkan semasa pelancaran nanti.
Di China, harga bermula sekitar RM62,000. Namun, dengan dasar harga EV Malaysia yang masih ditetapkan pada RM100,000, harga tempatan pastinya lebih tinggi. Dkhabarkan, Atto 2 dijangka akan dijual pada harga lebih rendah berbanding Atto 3, menjadikannya SUV paling mampu milik dari BYD Malaysia setakat ini.
Apa yang cukup menarik ialah BYD Atto 2 tidak mempunyai pesaing EV dalam saiz mahupun segmennya namun pesaing sengitnya adalah model enjin pembakaran dalaman (ICE) seperti Proton X50 atau hibrid seperti Chery Tiggo Cross dan Honda HR-V.
Ini memberi peluang jelas kepada BYD untuk menarik perhatian pasaran muda di kawasan bandar yang mencari sesuatu yang berbeza.
Pendek kata, BYD Atto 2 menawarkan gabungan saiz kompak, gaya moden, dan prestasi EV yang tepat untuk menjadikannya pilihan menarik bagi pembeli EV pertama kali.
Gallery





Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/