- Berita
- Kereta Baru
- Dilancar: Lexus RX 500h F Sport Special Edition-Harga RM512,888, HANYA Ada 50 Unit Di Malaysia!
Dilancar: Lexus RX 500h F Sport Special Edition-Harga RM512,888, HANYA Ada 50 Unit Di Malaysia!
Lexus Malaysia secara senyap-senyap melancarkan edisi terhad baharu SUV saiz sederhana mereka, dikenali sebagai Lexus RX 500h F Sport Special Edition.
SUV RX edisi terhad ini dijual pada harga RM512,888, iaitu RM4,000 lebih mahal berbanding RX 500h F Sport standard yang kini dijual pada harga RM499,888.
Pelancaran itu diumumkan melalui laman Facebook rasmi dan laman web mereka.
Difahamkan, model Special Edition ini dihadkan kepada hanya 50 unit dimana ia menerima sentuhan reka bentuk eksklusif dan kelengkapan tambahan berbanding model standard RX 500h F Sport.
Untuk makluman, ia hadir dengan warna luaran baharu Titanium Carbide Gray, serta pakej eksklusif Black Sport. Pakej ini terdiri daripada kemasan berwarna piano hitam, termasuk pada bampar hadapan dan belakang, serta skirt sisi.
Bagi menaikkan seri di bahagian luarannya, model ini juga dilengkapi dengan lampu puddle khas yang memancarkan logo F Sport ke tanah dan rim aloi matte hitam 21 inci dengan reka bentuk lima jejari yang diperbaharui.
Menjengah bahagian kabinnya, RX Special Edition ini dilengkapi dengan kemasan Aluminium Gelap F Sport, dipadankan dengan upholsteri suede berwarna gelap yang mempunyai embossing corak L Kageri pada tempat duduk hadapan.
Antara kelengkapan lain ialah ia hadir dengan stereng kulit tiga jejari F Sport, skrin infotainmen tengah 14 inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, kluster instrumen digital 12.3 inci yang lebih kecil, cermin pandang belakang digital, sistem audio Mark Levinson dengan 21 pembesar suara, dan banyak lagi.
Mengenai trenkuasanya, Lexus RX Special Edition ini menggunakan sistem hibrid (HEV) yang sama seperti model RX 500h F Sport standard, iaitu enjin petrol turbocharged 2.5 liter 4-silinder T24A-FTS. Ia mampu menghasilkan kuasa setakat 271 HP dan 460 Nm.
Sementara itu, motor elektrik hadapan yang ada pada model ini mampu menghasikkan kuasa setakat 86 HP dan 292 Nm.
Bagi motor elektrik di gandar belakang pula menghasilkan 102 HP dan 169 Nm, selain disumbat dengan sistem pacuan semua roda Direct4 (AWD).
Digabungkan dengan transmisi automatik enam kelajuan, RX Special Edition ini menawarkan jumlah kuasa sistem keseluruhan sebanyak 366 HP dan 550 Nm.
Untuk itu, ia mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 6.2 saat. Untuk kawalan lebih baik, ia juga dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang (RWS) yang boleh berpusing sehingga empat darjah.
Selain daripada sistem hibrid yang sama, Lexus Malaysia juga menyatakan bahawa RX Special Edition ini menggunakan sistem suspensi yang dinaik taraf. Walaupun tidak banyak butiran dikongsi, kami menjangkakan model khas ini hadir dengan sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) eksklusif Lexus, yang juga tersedia pada model RX 500h F Sport standard.
Bagaimanapun, tiada maklumat dinyatakan mengenai pakej jaminan bagi Lexus RX 500h F Sport Special Edition ini, namun kami menjangkakan ia akan menerima pakej yang sama seperti model standard, iaitu jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan berasingan 8 tahun tanpa had perbatuan untuk bateri hibrid.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/